Macau yang memiliki kepadatan tertinggi di dunia akan mengatasi Qatar dalam KDNK per kapita pada tahun 2020. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Tabung Dana Antarabangsa (IMF) menjangkakan Macau akan mengatasi Qatar sebagai negara yang memiliki Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita tertinggi di dunia menjelang tahun 2020.

Dalam Tinjauan Ekonomi Dunia Terkini yang diterbitkan akhir bulan lalu, IMF mengunjurkan pertumbuhan ekonomi terus berkembang pesat di hab kasino itu.

Tahun ini, Macau yang dikatakan ‘Las Vegas of Asia’, merekodkan KDNK per kapita AS$122,489, di tempat kedua di belakang Qatar yang mencatatkan AS$128,702.

Singapura menduduki tempat keempat dengan AS$ 98,014, di belakang Luxembourg AS$110,870.

Sementara Hong Kong berada pada kedudukan ke-10 dengan KDNK per kapita AS$64,533.

Unjuran IMF itu mengambil kira pertumbuhan mampan, akan menyaksikan Macau terus membuka jurang pada saingannya sehingga 2023.

Bagaimanapun, pengulas sosial, Sergio Almeida Correia menerusi blognya berkata: “Dari segi kualiti hidup, kawasan hijau, pencemaran, pendidikan, kesihatan, sukan, tenaga boleh diperbaharui, kitar semula sisa bandar, kebersihan dan kebersihan ruang awam, kebolehaksesan untuk orang kurang upaya, berbasikal jalan, pengangkutan awam mungkin tidak mendapat kedudukan yang tinggi dengan apa jua cara”.

Dengan populasi lebih dari 650,000, meliputi 30.8 km persegi, Macau juga memegang tempat teratas sebagai lokasi paling padat penduduk di planet, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ini bermakna bandar kasino itu mempunyai 21,322 orang setiap kilometer persegi – kepadatan yang menyesakkan.

Hong Kong, tempat keempat yang paling padat penduduk di planet di belakang Monaco dan Singapura, dengan 6,490 orang setiap kilometer persegi. – MalaysiaGazette