Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) bersama Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran (kiri) menyampaikan sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada Mohd Hafiz Mohd Kassim (dua kanan) suami kepada mangsa Siti Nur Ies'Mawida Ismail yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Pulau Lombok, Indonesia pada 29 Julai lalu turut hadir ibu mangsa Mazinah Mahmood, 57 (tengah) di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR –  Suami kepada rakyat Malaysia, Siti Nur Iesmawida Ismail yang maut dalam kejadian gempa bumi di Lombok, Indonesia menerima pencen penakat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM814.88 setiap bulan, berkuatkuasa serta merta.

Allahyarham telah memenuhi syarat cukup dan berkelayakan untuk Skim Keilatan di bawah Perkeso bagi melayakkan warisnya iaitu suami mangsa sebagai penerima Pencen Penakat untuk sepanjang hayat.

Mohd Hafiz Mohd Kassim,30, juga telah menerima bantuan sebanyak RM2,000 daripada Perkeso di bawah skim Faedah Pengurusan Mayat (FPM).

Sumbangan tersebut yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan cukup prihatin dan bersimpati dengan tragedi yang telah menimpa keluarga Nur lesmawida.

“Kita cukup bersimpati dengan tragedi ini, semoga bantuan yang disalurkan oleh kerajaan ini akan mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga waris.

“Pada masa yang sama, antara objektif majlis ini diadakan adalah untuk meningkat kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang tanggungjawab mereka untuk mengambil tahu akan hak merea sebagaimana yang disediakan oleh kerajaan melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Setiap majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan perusahaan mereka didaftar serta pekerja mereka dicarumkan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada Mohd Hafiz dan ibu Nur lesmawida, Mazinah Mahmood, 57, di Parlimen sebentar tadi.

Tambah Wan Azizah yang juga merupakan Ahli Parlimen Pandan, beliau telah dimaklumkan terdapat 740,000 majikan yang telah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN).

“Akan tetapi, saya mendapat tahu hanya 435,000 majikan aktif dengan Perkeso. Saya menyeru kepada segelintir majikan-majikan yang belum berdaftar supaya segera melakukan demikian dan mencarum untuk pekerja anda demi hak kebajikan mereka terbela,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Wan Azizah, kerajaan juga telah memperkenalkan perlindungan keselamatan sosial kepada pemandu teksi yang beekrja sendiri dan pemandu perkhidmatan e-hailing di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Kita juga bercadang untuk memperluaskan liputan ini kepada rakyat dalam sektor ‘informal’ seperti petani, nelayan, penjaja, seniman dan seumpamanya,” kata beliau. – MalaysiaGazette