KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) anbtarabangsa dari Malaysia meneruskan sumbangannya kepada umat Islam di Kemboja apabila memperuntukkan 20 ekor lembu bagi golongan fakir miskin di negara itu sempena Hari Raya Korban.

Ketuanya Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata lembu-lembu itu akan diagihkan ke kampung-kampung terpilih dengan golongan sasaran adalah fakir miskin, anak-anak yatim dan sekolah tahfiz yang berada di kawasan pedalaman.

“Kampung-kampung terlibat pada tahun ini antaranya adalah Kampung Bojuri, Mondokiri, Pak Phou dan Kampung 31,” katanya kepada Bernama pada Rabu.

Menurut Dr Mustapha, semua kampung-kampung itu terletak di kawasan pedalaman dengan penduduknya adalah petani.

Kehidupan mereka sekarang ini agak terhimpit kerana aktiviti pertanian terkesan kerana musim hujan di Kemboja sekarang ini selain kejatuhan harga getah.

Tahun ini NGO ANTARABANGSA memperoleh 20 ekor lembu sumbangan rakan-rakan dari Malaysia termasuk Kementerian Wilayah, Wisma Putra, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perdana Menteri.

Harga seekor lembu di Kemboja adalah antara RM2,000-RM2,250 seekor dan harga seekor kambing adalah antara RM500 dan RM600 bergantung kepada berat haiwan itu. – Bernama