Menteri Industri Utama, Teresa Kok ketika melawat pameran pada Perasmian Pameran Perabot dan Hiasan Rumah Malaysia 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 OGOS 2018
Menteri Industri Utama, Teresa Kok ketika melawat pameran pada Perasmian Pameran Perabot dan Hiasan Rumah Malaysia 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Eksport perabot kayu dijangka mampu menjana pendapatan tahunan sebanyak RM12 bilion menjelang 2020.

Menteri Perusahaan Utama, Teresa Kok berkata, eksport perabot kayu dengan nilai RM8.1 bilion merangkumi 80 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport perabot pada 2017.

Setakat Mei lalu sahaja, eksport perabot kayu adalah sebanyak RM2.98 bilion.

“Malaysia berada di kedudukan kesembilan pengeksport perabot dunia dengan mengeksport ke pasaran-pasaran utama seperti Amerika Syarikat, Singapura, Jepun, Australia dan United Kingdom,” katanya semasa berucap merasmikan Pameran Perabot dan Hiasan Rumah Malaysia 2018 di sini hari ini.

Tambah Teresa, Amerika Syarikat menjadi destinasi eksport terbesar Malaysia tahun lalu dengan nilai RM3.59 bilion, mewakili kira-kira 35 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan eksport perabot.

Selain pasaran tradisi, beliau menggalakkan pemain industri untuk meneroka pasaran sedang berkembang seperti China, India dan negara-negara Asean.

“Bagaimanapun, meskipun industri perabot Malaysia semakin mengukuhkan kedudukannya di pasaran global, saya menggesa agar mereka turut memberi fokus kepada pasaran tempatan.

“Ini kerana semakin banyak syarikat-syarikat perabot antarabangsa sedang mengukuhkan dan melebarkan perniagaan mereka di Malaysia,” tegasnya.

Sejumlah 20,000 pengunjung dijangka mengunjungi pameran dua hari itu.-MalaysiaGazette