KUALA LUMPUR – “Kehebatan mendiang Karpal Singh sebagai pemimpin politik sama seperti Mahatma Gandhi, Martin Luther King dan Nelson Mandela sebenarnya. Seangkatan dengan pemimpin-pemimpin tersohor dunia.

“Kejayaan dan kemenangan besar yang kini dicapai oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya adalah antara usaha serta kelantangan Yang Berhomat, Karpal Singh sehingga ianya menjadi realiti.

“Tiada sesiapun dalam kalangan kita mampu atau boleh menjadi seperti Karpal Singh, kebolehan beliau sebagai ahli politik demi memperjuangan kepentingan rakyat sebenarnya tiada tolok bandingnya dan saya mohon supaya jangan cuba letakan diri sesiapa dengan Karpal,” kata Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berang dengan ‘gangguan’ tidak henti-henti oleh Rayer, bertindak melontar kenyataan meminta beliau berhenti untuk menjadi Karpal.

“Yang Berhormat Jelutong ini sebenarnya kawan baik saya. Namun sejak menjadi Ahli Parlimen, beliau jadi sangat terdesak untuk menjadi seperti mendiang Karpal Singh yang juga merupakan Ahli Parlimen Jelutong.

“Wahai kawan, saya pernah mendapat peluang secara terhormat untuk bersama mendiang Karpal Singh dalam Dewan yang sama sebelum ini. Anda langsung tidak ‘dekat’ atau setaraf dengan beliau,” sindirnya dalam Bahasa Inggeris.

Jelas Rayer kepada Malaysia Gazette, beliau tidak pernah sekalipun termimpi untuk meletakan dirinya ‘setaraf’ dengan Karpal yang juga merupakan mentornya bukan sahaja dalam dunia undang-undang, juga politik.

karpal singh

Mendiang Karpal Singh

“Saya menjadi pelatih dalam kamar dengan Karpal pada tahun 1995, sejak itu sehingga akhir hayatnya saya setia bersama beliau. Saya begitu teruja untuk mendampingi ‘Harimau Jelutong’ itu kerana pada saya beliau adalah antara pemimpin yang benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan amat menyintai negara ini.

“Beliau banyak mengambil kes secara percuma, ada juga yang disertai oleh saya sendiri. Anda sememangnya belajar banyak daripada mendiang. Jangan cuba keluarkan kenyataan ‘murahan’ bersifat politik.

“Saya adalah peminat tegar dengan perjuangan beliau, kelantangan beliau dengan keyakinan tinggi itu perlukan keberanian luar biasa, itu ada padanya yang tiada dengan pemimpin lain pada padangan peribadi saya. Beliau pernah dengan berani mengatakan makanan Datuk Seri Anwar Ibrahim diracun. Kenyataan itu kemudian membuatkan dirinya didakwa di mahkamah.

“Sudah tentu akhirnya dakwaan itu ditarik balik, ini hanya salah satu contoh. Ada banyak lagi. Saya berjinak-jinak dalam politik kemudian hari kerana beliau juga, akhirnya pada 2008 saya menang dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima untuk dua penggal, kini bergelar Ahli Parlimen Jelutong. Saya tahu siapa itu Karpal, dan saya hanya sekadar mengikut jejak beliau dalam perjuangkan kepentingan rakyat,” katanya.

Tambah Rayer, adalah sesuatu yang ‘mustahil’ dan ‘mimpi siang hari’ untuk meletakan diri setaraf dengan Karpal terutamanya apabila melibatkan integriti tinggi serta prisip dan moral.

“Walaupun cuba sedaya upaya sekalipun, adalah sukar. Kita hanya mampu sekadar ikut jejak beliau dengan penuh prinsip, kejujuran, ketelusan dan moral.

“Mungkin Khairy (KJ) tidak faham semua ini, tidak seperti KJ, kami percaya dengan semua prinsip seperti ini,” tegasnya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast