BARU-baru ini, terdapat desas desus mengatakan harga gula akan turun serendah RM1.50/kg daripada RM2.95/kg.

Media-media juga melaporkan bahawa Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan harga siling gula sebanyak 10 sen dalam minggu depan.

Perkara ini merupakan perkara yang merungsingkan kerana ia boleh memberikan isyarat yang tidak baik kepada Rakyat Malaysia.

Malahan, berdasarkan laporan di dalam akhbar harian, rakyat Malaysia dijangka dapat berjimat sebanyak RM4 setahun jika gula dikurangkan sebanyak 10 sen.

Apa yang merisaukan adalah, kesan yang bakal mempengaruhi kos dan juga tahap kesihatan rakyat!

Berpandukan peraturan asas ekonomi, semakin rendah harga, semakin tinggi penggunaannya. Kini, Malaysia merupakan antara salah satu negara yang menggunakan gula paling banyak dalam makanan dan minuman.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015, satu daripada lima rakyat Malaysia yang dewasa mempunyai penyakit diabetes.

Statistik ini melebihi unjuran Kementerian Kesihatan pada tahun 2014, yang menjangkakan keadaan ini hanya berlaku apabila mencecah tahun 2020.

Selain daripada itu, penyakit obesiti yang sangat berkait rapat dengan pengambilan gula juga merupakan isu yang serius seperti mana yang dibuktikan dalam penyelidikan oleh Kementerian Kesihatan.

Negara-negara luar seperti Brunei, Norway, Perancis Belgium dan United Kingdom telah memperkenalkan langkah-langkah untuk meningkatkan harga gula melalui “cukai gula”, dengan tujuan untuk mengubah tabiat pengambilan gula berlebihan oleh rakyatnya.

Sebaliknya, nampaknya Malaysia, antara negara yang mempunyai harga gula yang rendah, sedang bercadang untuk mengurangkan lagi harga gula!

Tidak dapat dinafikan bahawa, para peniaga akan mendapat manfaat daripada pengurangan kos perbelanjaan. Akan tetapi, ia tidak memberi impak yang besar kepada perbelanjaan pengguna.

Saya percaya bahawa terdapat banyak lagi perkara yang perlu diberikan perhatian termasuklah isu permahan, pengangkutan serta utiliti yang sudah terang lagi bersuluh, mempunyai impak yang lebih besar kepada perbelanjaan harian kita.

Oleh itu, saya di sini ingin menggesa Kerajaan untuk mempertimbangkan kembali polisi berkenaan dengan harga gula bagi untuk membina komuniti yang bergaya hidup sihat.

Rakyat Yang Prihatin,
KUALA LUMPUR