SINGAPURA – Harga minyak dunia naik dalam dagangan hari ini berikutan sekatan Amerika Syarikat ke atas Iran akan mengetatkan pasaran, meskipun pertumbuhan ekonomi lembab.

Niaga hadapan minyak Brent didagangkan AS$72.88 setong pada 0053 GMT, naik AS$0.07 daripada harga penutup.

West Texas Intermediate pula diniagakan AS$67.79 setong, meningkat sebanyak AS$0.16.

Amerika Syarikat akan melaksanakan sekatan baru ke atas Iran, bermula bulan November ini, mensasarkan sektor petroleum negara tersebut.

“Dengan sekatan ke atas Iran kembali semula…semua mata akan melihat impak ke atas eksport minyak mentah dari negara berkenaan.

“Untuk mengekalkan bekalan global akan menjadi cabaran walaupun Amerika Syarikat meningkatkan pengeluarannya,” menurut ANZ Bank.

Syarikat-syarikat tenaga di Amerika Syarikat meningkatkan 10 medan penggerudiannya minggu lalu menjadi jumlah keseluruhannya 869, menurut Baker Hughes, firma perkhidmatan tenaga.

Ia merupakan paras tertinggi dalam aktiviti penggerudian sejak Mac 2015. – MalaysiaGazette