Tiga cabang di Sabah dan Sarawak yang ditangguhkan baru-baru ini dianggap selesai.
Tiga cabang di Sabah dan Sarawak yang ditangguhkan baru-baru ini dianggap selesai.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) menetapkan lima hari dari 11 hingga 15 Ogos ini sebagai tempoh bantahan pencalonan dan tarik diri calon yang bertanding bagi seluruh negeri.

Pengerusinya, Datuk Rashid Din berkata, bagi Perak, Wilayah Persekutuan, Pahang, Sabah dan Sarawak tempoh itu bermula hari ini hingga Rabu, manakala Johor, Kedah dan Negeri Sembilan dari 12 hingga esok.

Kata beliau, negeri seperti Kelantan, Terengganu, Melaka, Perlis dan Pulau Pinang tarikhnya ditetapkan 11 Ogos hingga hari ini.

“Semua bantahan perlu dibuat dengan mengisi borang bantahan beserta bayaran dan diemelkan ke [email protected] dan wang bayaran dimasukkan ke akaun Hong Leong Bank atas nama Parti Keadilan Rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Pada pemilihan 9 September ini, jawatan Presiden telah dimenangi Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keputusan menang tanpa bertanding setelah penyandangnya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar meletakkan jawatan itu.

Timbalan Presiden menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, serta 12 calon merebut jawatan Naib Presiden dan 88 pencalonan untuk jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat pula seramai tiga calon telah disahkan ialah Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Afif Bahardin dan Mohd Najwan Halimi, manakala tiga calon merebut jawatan Timbalan Ketua AMK ialah Naqiuddin Nazrin, Muhamad Hilman dan Raymond Anuar.

Ahli Parlimen Kuantan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh akan berlawan dua penjuru merebut jawatan Ketua Wanita Pusat dengan pencabarnya Haniza Mohd Talha, manakala jawatan Timbalan Ketua Wanita pula Dr Daroyah melawan Ridziah Salleh.

Menurut Rashid, bagi calon yang merancang hendak menarik diri selepas nama mereka disahkan JPP, perlu menulis surat kepadanya dan sebarang bantahan serta penarikan diri selepas dari tarikh yang dimaklumkan tidak akan dilayan. – MalaysiaGazette