KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US hari ini berikutan kekukuhan dolar US di tengah-tengah ketegangan dagangan yang meningkat membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada 9 pagi, ringgit didagangkan pada 4.0880/0900 berbanding dolar US daripada penutup Jumaat pada 4.0830/0870.

Seorang peniaga berkata, kadar tukaran ringgit kepada dolar US mungkin akan dikurangkan
berikutan peningkatan kadar faedah Rezab Persekutuan AS.

“Peningkatan ketegangan dagangan antara AS dan China mengukuhkan dolar yang menyaksikan indeks dolar mencecah hampir kepada
kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun,” tambahnya.

Katanya, peningkatan minyak mentah Brent membantu mengurangkan kelemahan ringgit.

Penanda aras minyak mentah Brent meningkat kepada US$72.85 setong pada 9 pagi hari ini.

Ringgit bagaimanapun, didagangkan kebanyakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9720/9737 daripada 2.9781/9813 pada Jumaat, tetapi rendah berbanding yen Jepun pada 3.6995/7024 daripada 3.6800/6846.

Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.2114/2156 daripada 5.2193/2248 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6530/6556 daripada 4.6779/6837. – MalaysiaGazette