Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (dua kiri) menunjukkan borang-borang yang dipercayai digunakan untuk tujuan pendaftaran palsu pada sidang media berkenaan Serbuan Keatas Syarikat Daftar Program Rehiring Palsu di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OGOS 2018.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (dua kiri) menunjukkan borang-borang yang dipercayai digunakan untuk tujuan pendaftaran palsu pada sidang media berkenaan Serbuan Keatas Syarikat Daftar Program Rehiring Palsu di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 14 OGOS 2018.

PUTRAJAYA – Sebuah sindiket yang disyaki menjalankan penipuan penggajian semula pekerja asing dengan menggunakan syarikat pelancongan berjaya ditumpaskan semalam.

Sindiket ‘Abang Is’ yang telah mengaut keuntungan kira-kira  RM2.2 juta itu melibatkan 270 mangsa terdiri daripada pekerja dari India, Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor dan Negeri Sembilan bersama Pasukan Taktikal Khas (Pastak) telah mengesan dan menjalankan tangkapan terhadap suspek yang disyaki menjalankan aktiviti penipuan menerusi agen pelancongan yang berdaftar sebagai Growing Global Multiple Business Sdn. Bhd.

“Syarikat itu telah menawarkan warga asing yang ada di negara ini dengan program penggajian semula yang kononnya diuruskan syarikat tersebut walaupun diketahui umum program penggajian semula ditamatkan pada 30 Jun 2018.

“Berdasarkan risikan dan siasatan awal kami mendapati setiap mangsa membayar RM8,000 kepada syarikat berkenaan untuk tujuan mendapatkan pekerjaan menerusi penggajian semula dengan alasan boleh berurusan dengan pegawai Imigresen walaupun tamat 30 Jun lepas.

“Rentetan itu, pada 12 Ogos sekitar 10.50 pagi sebuah premis kediaman di Bandar Puteri Bangi, Kajang telah diserbu di lokasi pertama dan seorang lelaki Sikh tempatan berusia 63 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

“Turut ditahan 3 lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki sebagai mangsa penipuan tetapi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Imigresen di sini.

Tambah beliau, turut dirampas Imigresen sejumlah pasport serta borang-borang yang dipercayai digunakan untuk tujuan pendaftaran program penggajian semula dan borang perjanjian di antara syarikat dengan mangsa mengenai bayaran bulanan wang perlindungan berjumlah RM200 turut ditemui dan dirampas.

Katanya, hasil serbuan pihaknya turut merampas 232 pasport iaitu 222 pasport Bangladesh, 7 pasport Indonesia, 2 pasport India, 1 pasport Pakistan serta pelbagai dokumen dan buku resit pembayaran transaksi.

“Malah kita juga menyerbu sebuah lagi premis di lokasi kedua iaitu di Taman Desa Seringin, Nilai pada Isnin (semalam) dan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun dan lelaki warga India ditahan.

“Dalam serbuan sama, sejumlah 38 dokumen perjalanan antarabangsa pelbagai negara iaitu 26 keping pasport Bangladesh, 10 keping pasport India, 2 keping pasport Indonesia dirampas.

“Selain itu turut dirampas, 2 buah kenderaan iaitu Honda Accord 2.4 VTI-L berwarna hitam bernombor pendaftaran RIMAU 9919, 1 buah kenderaan jenis Toyota Vios-G berwarna coklat bernombor pendaftaran BNL 1110 yang ditemui dalam kawasan premis yang disyaki dibeli suspek menggunakan wang yang dikutip daripada mangsa penipuan rehiring (penggajian semula)” katanya.

Menurut beliau, suspek utama Abang Is ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Pasport dan Seksyen 117 sementara warganegara India ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Manakala suspek lelaki tempatan yang ditahan dalam serbuan di Bangi pula akan dilanjutkan reman selepas ini dan kesemua suspek tahanan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Shah Alam, Selangor untuk siasatan lanjut,” kata beliau.- MalaysiaGazette