KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk memberi laluan kepada Pas bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 8 September ini.
Menurut Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hassan, keputusan itu dibuat sebagai imbal balas kesudian Pas memberi laluan kepada UMNO dan BN bertanding melawan PKR di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu.
“Ini titik permulaan awal untuk kita mencari persamaan sebagai satu blok pembangkang, kita beri laluan kepada Pas (sebab) Pas sudah beri laluan kepada kita di Sungai Kandis.
“UMNO di peringkat Seri Setia juga akan menolong Pas berkempen,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat BN di sini, semalam.
Mengenai keputusan membenarkan MCA menggunakan logo parti sendiri pada PRK DUN Balakong, juga pada 8 September ini, beliau berkata, ia sebagai usaha untuk melihat sejauh mana rakyat menerima BN.
Beliau menolak dakwaan mengatakan, keputusan itu membuktikan BN sudah berpecah, walaupun sembilan daripada 14 parti komponen telah keluar dari BN.
“Boleh jadi kalau kawasan PRK itu kuota MIC, kita membenarkann MIC bertanding menggunakan logonya, dan di tempat lain pula kalau ada PRK, kalau itu kawasan UMNO. Kita guna logo UMNO.
“Tidak timbul ini bibit perpecahan dalam BN ataupun kita tidak lagi sehaluan. Kita masih lagi menjadi gabungan BN walaupun dah tinggal lima parti. Kita akan teruskan, atau boleh jadi lepas ini bukan lagi nama BN.
“Kalau dulu tahun 1969 daripada Perikatan ditukar kepada BN dan sekarang dah lebih 30 tahun, mungkin kita boleh berikan produk baru,” katanya. – MalaysiaGazette