KUALA LUMPUR – Pereka tempatan jangan takut untuk menghasilkan busana untuk golongan bertubuh besar atau ‘plus size’ kerana bimbang rugi, kata Azhar Zainal.
Pengarah dan pereka fesyen itu berkata, sepatutnya golongan ‘plus size’ tidak hanya dianggap golongan minoriti lagi di dalam negara, sebaliknya perlu diberi layanan yang sama khususnya dalam berfesyen.
“Kebanyakan pereka takut baju mereka tidak terjual sebab tu banyak reka baju kecil-kecil sahaja.
“Tapi macam mana kita nak jadikan golongan ‘plus size’ seronok berbelanja baju dalam negara sebab tu saya nak buat baju untuk size besar,” katanya ketika sidang akhbar selepas majlis pelancaran jenama Azhar Zainal.
Seperti dirinya, Azhar mengajak pereka-pereka tanah air untuk ‘bermain’ saiz busana yang pelbagai dalam menghasilkan busana mereka.
Ujarnya saiz yang besar tidak seharusnya dijadikan halangan untuk seseorang memperagakan busana yang indah.
“Pereka perlu jelajah saiz, satu perkara yang baik untuk saling menjelajah rekaan dengan semua saiz,” ujarnya lagi.
Azhar dalam mengetengahkan koleksi hari ini berkata, beliau bakal menyertai Borneo Fashion Week pada 7 hingga 9 September nanti.
Pereka muda yang lahir pada 8 November 1989 ini berkata, idea untuk mengetengahkan busana untuk golongan ‘plus size’ tercetus apabila isterinya sukar untuk mendapatkan baju.
Justeru beliau mendapati ia merupakan masalah yang sangat sinonim kepada kumpulan ‘plus size’ yang seolah-olah dipinggirkan.
Beliau yang berasal dari Melaka ini pada akhirnya menganggap pereka juga mempunyai tanggungjawab untuk menyedarkan masyarakat tentang ‘body shaming’ iaitu budaya mengejek saiz badan yang dilihat menjadi-jadi dewasa kini.
“Kita kena raikan apa juga saiz sekalipun sebab itu fokus saya dalam rekaan saya adalah #plussizediversity,” ujarnya yang menyediakan pelbagai jenis busana untuk golongan ‘plus size’ bermula dari gaun malam, kasual dan sebagainya. -MalaysiaGazette