Penyanyi, Azharina Azhar pada majlis Pelancaran Jenama Azhar Zainal di Loka Malaysia, NU Sentral, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 15 OGOS 2018
Penyanyi, Azharina Azhar pada majlis Pelancaran Jenama Azhar Zainal di Loka Malaysia, NU Sentral, Kuala Lumpur. foto MIRZA HASIM, 15 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Ramai selebriti pada masa ini memilih untuk menceburkan bidang perniagaan dengan menghasilkan produk kesihatan atau kecantikan.

Namun bagi Juara Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) menampilkan kelainan apabila menjual kepak ayam resepi Borneo selain berjinak-jinak dengan produk kecantikan organik.

Azharina, 32, tidak menyangka perniagaan kecil-kecilannya yang berusia seminggu sudah mendapat sambutan yang baik sehinggakan penyanyi lagu Elegi Sepi itu membuat keputusan untuk memperkembangkannya.

“Saya ada perniagaan saya sendiri Naina Kosmetik semua daripada organik untuk wanita lepas tu saya juga ada perniagaan kecil-kecilan yang tak sengaja telah menjadi dan alhamdulillah iaitu kepak ayam.

“Pada mulanya saya buat hanya suka-suka bertapak di restoran kakak angkat saya di Puchong tiba-tiba mendapat sambutan yang sangat-sangat menggalakkan,” katanya kepada MalaysiaGazette semalam.

Buat permulaan perniagaan kepak ayam Azharina dijalankannya di restoran kakak angkatnya di Puchong.

Menariknya, kepak ayam yang dijualnya resepi tradisional Sabah yang diusahakan bersama rakan karibnya.

“Resepi saya dan sahabat karib saya Kak Ani yang kerja dengan saya lebih 12 tahun,” ujar Azharina.

Menyentuh tentang single terkini, bekas juara Bintang RTM 2001 itu mengumumkan akan keluarkan ‘buah tangan’ terbaharunya bertajuk Lakar Janji dalam masa terdekat.

Lagu genre power balad yang dijangka dilancarkan tahun ini juga disifatkannya sebagai mencabar kemampuan dirinya sebagai penyanyi yang sebelum ini dikenali memiliki suara tinggi.

“Lagu ni saya tak pernah lagi nyanyi lagu macam ni, genre power balad walaupun saya banyak rakam lagu sebelum-sebelum ini tapi lagu ini adalah antara tersusah yang saya pernah nyanyi.

“Ia mencabar kredibiliti saya sebagai penyanyi. Saya biasa menyanyi lagu pop, balad dan power balad dan range lagu ini tinggi jadi ini pertama kali sebab saya tak pernah buat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette