PETALING JAYA – Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr. Halimah Ali mengakui masih rasa seram sejuk apabila dipilih mewakili partinya sekali lagi.
Beliau berkata, perasaan itu berganda kerana PRK kali menjadi tumpuan pucuk tertinggi pimpinan parti termasuk presiden berbanding pengalamannya bertandingan pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
“Terima kasih kerana bukan sahaja mewakili Pas namun pembangkang serta isyarat buat kerajaan pimpinan Pakatan Harapan yang memerlukan suara pembangkang yang kuat di Selangor sekali gus memberi impak kepada negara.
“Ini kali kali kelima saya menjadi calon Pas namun saya seram sejuk kerana sebelum ini bertanding pada PRU.
“Namun dalam PRK semua pemimpin parti pusat berkumpul di sini termasuk dari pelusuk negeri yang datang,” katanya.
Beliau berkata demikian sebaik diumumkan calon Pas bagi DUN Seri Setia oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini malam tadi.
Halimah yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat Pas sebelum ini bekas wakil rakyat DUN Selat Klang dan EXCO Kerajaan Selangor.
Halimah berkata, hanya rakyat biasa dan memerlukan sokongan dan dokongan pengundi dengan mengambil kata semangat bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.
“Kata Obama, kita boleh melakukan walaupun majoriti besar diraih PH pada PRU-14 lalu.
“Walaupun mereka kini menjadi kerajaan, suara pembangkang diperlukan agar mereka tidak lupa, lalai dan leka serta semak dan imbang buat PH.
“Buat pengundi DUN Seri Setia, jika anda bersama saya, saya akan bersama anda juga.
“Bukti dan tunjukkan bulat di hati dan suara rakyat yang kuat pada 8 September ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















