Hannah memuatnaik pujian ini selepas persidangan Dewan Rakyat tamat semalam.
Hannah memuatnaik pujian ini selepas persidangan Dewan Rakyat tamat semalam.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan menerima pujian daripada Ahli Parlimen Segambut dari DAP, Hannah Yeoh yang menyifatkannya sebagai pembangkang baik dan rajin sepanjang persidangan Dewan Rakyat lalu.

Hannah yang memuat naik pujian itu menerusi akaun Twitter menyatakan, jika ditanya kepadanya berhubung prestasi persidangan Dewan Rakyat di Parlimen selama hampir sebulan, beliau memilih Ahmad.

“Jika anda tanya kepada saya, pembangkang MP @ahmadmaslan ini rajin di Parlimen. Dia memainkan peranannya dengan sangat baik terutama ketika berbahas dan berhujah dengan pihak kerajaan.

“Dia jauh lebih pintar sebagai seorang pembangkang,” katanya yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.

Selain itu, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar juga menganggap Ahmad sebagai wakil rakyat yang sentiasa menjadi pilihannya.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Keempat Belas 2018 bersidang selama satu bulan bermula 16 Julai lalu hingga semalam (16 Ogos).

Sementara itu, Ahmad menerusi akaun twitternya pula memberitahu, beliau telah berusaha untuk menjadi pembangkang yang baik.

“Saya berbahas dengan fakta, data dan gaya saya. Ada orang suka, ada (orang) tak suka. Yang penting, saya sudah beri pandangan dan cadangan kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

“Semoga sebahagian daripada cadangan dan pandangan itu diterima kerajaan,” tulis beliau.

Sementara itu, tinjauan Malaysia Gazette, ramai netizen memberi pujian kepada beliau sebagai seorang ahli parlimen dari blok pembangkang yang baik.

Netizen bernama Mohan Louis mengucapkan syabas kepada Ahmad sambil berpandangan persidangan kali ini telah mengubah pandangan beliau terhadap bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

“Walaupun ideologi (saya) berbeza, tetapi Datuk (Ahmad) menunjukkan boleh membangkang dengan bernas. Jumpa Datuk pada persidangan akan datang Oktober ini,” katanya.

Seorang lagi netizen Hadithinking meninggalkan komen, “Walaupun banyak yang boleh diperbaiki dari segi bahasa, tapi cara serta kesungguhan Datuk sebagai pembangkang boleh dijadikan contoh untuk sahabat pembangkang yang lain. Tahniah”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast