KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) menuntut Kementerian Wilayah Persekutuan menyiasat berhubung penganjuran parti gay terbesar yang dijadualkan diadakan di G Tower, Jalan Tun Razak selama tiga hari mulai 30 Ogos ini.
Ketuanya, Mohd. Farkhan Md Zain berkata, Parti Resurrection 2018 adalah program tahunan komuniti gay sejak tahun 2015.
Kata beliau, program itu dianjurkan oleh Divine Bliss dan telah mendapat liputan besar-besaran media antarabangsa seperti portal Element (Asia leading LGBT media network) dan The Gay Passport.
“Pihak penganjur juga dikatakan menyalurkan sebahagian keuntungan daripada penganjuran parti berkenaan sejak tahun 2015 kepada sebuah yayasan dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau mahu kementerian berkenaan bertindak tegas dan membatalkan parti itu dengan segera dan tidak mencemarkan maruah rakyat serta negara dengan penganjuran program yang hina itu. – MalaysiaGazette