PETALING JAYA – Pas mengetengahkan calon yang diterima rakyat dan mempunyai rekod cemerlang sebagai wakil rakyat untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.
Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Halimah adalah seorang pemimpin yang sangat aktif dengan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.
“Rakyat yang merupakan pengundi dalam DUN Seri Setia harus memberi undi kemenangan kepada calon Pas ini kerana rekod cemerlangnya sebelum ini melayakkan beliau untuk mewakili rakyat Seri Setia.
“Saya berkesempatan berada di penamaan calon PRK DUN Seri Setia semalam. Calon yang diketengahkan oleh Pas ini dikenali sebagai seorang yang sangat aktif dengan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Samsuri meminta pengundi dalam DUN berkenaan memberi undi kepada Dr Halimah yang terbukti cemerlang perkhidmatannya kepada rakyat.
Halimah dijangka dapat memberi saingan sengit kepada calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR pada PRK 8 September ini berikutan pengalamannya selama dua penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). – MalaysiaGazette