Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

PETALING JAYA – Pas menasihatkan ahli dan penyokongnya agar tidak terpengaruh dengan dakyah Pakatan Harapan (PH) yang mahu melaga-lagakan kerjasama baik antara parti itu dengan UMNO.

Naib Presidennya, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, apa yang dilakukan oleh pemimpin PH sekarang ialah untuk menutup kesalahan dan kelemahan mereka mentadbir kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh 100 hari.

“Mereka gagal menjadi kerajaan yang baik, kemudian untuk mengabui mata rakyat, mereka cuba melaga-lagakan Pas dengan UMNO.

“Mereka lakukan supaya parti blok pembangkang bergaduh sesama sendiri dan pada masa sama rakyat akan lupa kelemahan pentadbiran kerajaan PH,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Pas dan UMNO mencatat sejarah politik negara apabila kedua-dua bekerjasama melawan parti gabungan PH.

Dalam PRK itu, Pas meletak bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ASUN) Selat Kelang, Dr Halimah Ali, manakala PH memilih bekas Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Halimey Abu Bakar sebagai calon.

PRK Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, PH kini bimbang dengan kerjasama Pas dan UMNO yang boleh melahirkan blok pembangkang yang kuat.

“PH kini sangat bimbang jika pembangkang dapat bekerjasama untuk menelanjangkan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast