SUBANG – Pas meletakkan Dr Halimah Ali seorang yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat dan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sebagai calonnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.
Menurut Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pas melihat perlunya rakyat di Selangor dan DUN berkenaan khususnya kepada seorang wakil rakyat yang benar-benar boleh berkhidmat, bukan sekadar pemimpin ‘sign board’ yang menunjukkan gambar, tetapi tidak turun padang.
Beliau yakin, apa yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu, memberi isyarat jelas kepada rakyat dan pengundi di DUN Seri Setia serta DUN Balakong untuk memberi kemenangan kepada Pas dan MCA dari Barisan Nasional (BN).
“Kita meletakkan bekas Exco dan bekas wakil rakyat yang telah membuktikan dia bekerja sebagai Exco dan wakil rakyat sebelum ini, bukan wakil rakyat sign board (tunjuk gambar) sahaja. Itu terbukti berlaku pada pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
“Pas, sejak dari dahulu lagi meletakkan perjuangan membela semua kaum dan memperkenalkan Islam itu agama adil untuk semua dan baik untuk semua, dengan orang Melayu mesti menjadi pemimpin serta mendominasi penduduk,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Lembah Subang, dekat sini, malam tadi.
Turut hadir, Naib Presiden yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Mengenai janji 100 hari PH, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, rakyat dapat menilainya sendiri kerana pemimpin dari pakatan sendiri ada yang mengakui ia gagal ditunaikan, termasuk pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sekadar memberi penilaian pada tahap 33 peratus sahaja.
Kegagalan itu, jelas beliau, menunjukkan perubahan bakal berlaku kerana kemenangan PH pada PRU14 bukan atas kekuatan parti itu, sebaliknya kerana rakyat terpedaya dengan janji 100 hari.
“Perubahan awal yang boleh kita lihat apabila undi yang diperolehi calon PH di DUN Sungai Kandis baru-baru ini merosot teruk dan rakyat memberi isyarat jelas kepada kerajaan itu dengan peratusan keluar mengundi tidak sampai separuh daripada jumlah pengundi berdaftar.
“Bahkan, pada masa sama, kita melihat undi kepada calon BN (Datuk Lokman Noor Adam) meningkat.
“Ini satu perubahan yang sangat menarik dan saya rasa PRK Seri Setia pada 8 September ini akan berpihak kepada kita,” katanya. – MalaysiaGazette