Projek ECRL sepanjang 688 kilometer itu akan menghubungkan Lembah Klang dengan kawasan Pantai Timur melalui rangkaian perkhidmatan kereta api yang melalui Pelabuhan Klang, Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Jelawat di Bachok dan berakhir di Pengkalan Kubor, Tumpat.

KUALA LUMPUR – Walaupun sebelum ini sudah ada ‘ura ura’ yang menyebut tentang pembatalan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ERCL), namun pengumuman rasmi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam ternyata mengejutkan pemilik projek tersebut, Malaysia Rail Link (MRL).

The Star mendedahkan hari ini, seorang pegawai kanan MRL yang bercakap kepada akbar tersebut berkata, pihaknya masih lagi ‘terkejut’ mendengar pengumuman itu ketika lawatan Tun Mahathir ke Beijing yang berakhir semalam.

Ini berikutan pendedahan pegawai yang enggan dikenali itu ketika ini pihaknya masih lagi dalam proses ‘perbincangan’ berhubung status projek mega bernilai RM81 bilion itu dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) selain daripada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan berhubung penurunan kos projek tersebut.

“Setakat ini, kita telah membayar lebih RM10 bilion kepada kontraktor utama, China Communications and Constructions Company (CCCC) dan kita mendapati ada tuntutan sebanyak RM9 bilion untuk kerja yang telah dilakukan.

“Ini adalah satu pembaziran dan kerugian besar sebenarnya kerana jumlah pampasan kepada mereka adalah agak tinggi,” kata sumber tersebut.

Projek mega sejauh 688 kilometer (km) yang dilancar pada Ogos 2017 itu berperanan untuk menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan dijangka siap sepenuhnya pada 2024.

Dalam pada itu, The Star turut mendedahkan terdapat segelintir pekerja ECRL masih belum menerima arahan daripada pihak pengurusan atasan.

“Kami tidak tahu apakah status projek ini sehingga kini, masih lagi tertanya-tanya. Kami masih ternanti-nanti apakah pengumuman ‘rasmi’ dari pihak pengurusan atasan,” dedah mereka.

Sebahagian besar kakitangan dalam projek ECRL ini terdiri daripada pekerja tempatan, dengan pekerja dari China hanya antara 18 hingga 20 peratus.

Jun lepas, Tun Mahathir selepas mesyuarat Kabinet mengumumkan ECRL belum dibatalkan memandangkan banyak wang telah dibelanjakan ke atasnya.

Jelas beliau ketika itu kerajaan sedang mengkaji daya maju projek itu dan bagaimana untuk menanganinya dengan bijak malah rakyat mengalu-alukan kajian terhadap projek mega dalam usaha membantu negara menguruskan bebanan hutang sangat dipuji.

Perkembangan ketika itu difahamkan  beberapa pihak berusaha untuk menurunkan kos pembinaan ECRL manakala kos tanpa faedah yang menelan belanja RM40 bilion itu membuatkan projek tersebut dilihat lebih bersesuaian untuk diteruskan.

Selain daripada pengumuman pembatalan ECRL, Tun Mahathir turut membatalkan projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) yang meliputi pemasangan saluran paip gas sepanjang 662km dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau, melibatkan kos RM4 bilion. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast