KELANA JAYA – Sia-sia jika pengundi memilih calon, kata calon Pakatan Harapan (PH) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar.
Jelasnya, ini kerana pertambahan satu ADUN di Selangor tidak akan memberi perbezaan besar dan suara mereka tidak didengari kerana Selangor ditadbir oleh PH.
“Bagi saya, kalau kita tengok sekarang ini pembangkang di Selangor hanya lima orang sahaja, jadi saya rasa majoriti di dalam sidang DUN pun tidak mencukupi untuk mereka bersuara, jadi saya rasa tidak ada maknanya kalau kata suara dia akan diangkat. Tidak ada makna langsung.
“Jadi, saya rasa kalau calon lain selain dari PH, tidak ada suara yang akan didengari pun, sebaiknya pilih calon dari kerajaan yang memerintah sekarang iaitu PH,” katanya kepada pemberita ketika sidang media hari ini.
Halimey dalam masa sama menangkis dakwaan calon Pas, Dr. Halimah Ali bahawa wakil rakyat daripada PH tidak akan memberi manfaat kelak kerana tidak akan berani bersuara mewakili rakyat.
“Sudah pasti (akan bersuara), pengalaman saya sebagai ahli majlis (Majlis Perbandaran Petaling Jaya), saya pun banyak bersuara di kawasan saya,” tambahnya.
Untuk rekod, Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan raya Umum Ke-14 (PRU-14) memiliki empat kerusi DUN iaitu Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Sungai Burong manakala Pas satu sahaja di Sijangkang.
Keseluruhan jumlah DUN di Selangor adalah sebanyak 56 kerusi. -MalaysiaGazette