Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – UMNO menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghentikan tindakannya daripada terus menerus menjadikan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu sebagai kambing hitam.

Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, apa yang dilakukan kerajaan baharu bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghentikan beberapa projek mega kononnya membazir harus dilihat sebagai kelemahan ketara kerajaan itu.

Menurut beliau, daripada pembatalan beberapa projek itu termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kerajaan PH sebenarnya berdepan dengan kehilangan berpuluh bilion ringgit kerana perlu membayar ganti rugi kepada syarikat berkenaan.

“Apabila kerajaan baharu menyedari mereka akan kehilangan wang yang banyak dan takut dikecam oleh rakyat sebagai kerajaan yang tidak pandai mengurus ekonomi negara, mereka akan menuding jari menyalahkan kerajaan terdahulu.

“Tidak semena-mena kerajaan lama dijadikan kambing hitam oleh kepimpinan kerajaan baharu. Padahal, apa yang berlaku ini adalah hasil daripada kelemahan mereka mentadbir dan mengurus,” katanya dipetik sebagai berkata menerusi kenyataan yang dimuatnaik dalam akaun Facebook beliau, hari ini.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, akibat daripada kehilangan berpuluh bilion ringgit dalam tempoh tiga bulan itu, yang menjadi mangsa rakyat seperti peneroka Felda, pelajar yang meminjam TPTN, pegawai kerajaan, penerima BR1M, nelayan, pengguna petrol dan pengguna tol.

Katanya, itulah harga politik dendam dan ego kerajaan PH, yang rakyat terpaksa membayarnya.

Mengenai ECRL, Annuar menjelaskan, projek bernilai kira-kira RM46 bilion itu pada dasarnya sudah berjalan dan mencapai hasil kerja 20 peratus.

“Bagaimanapun, disebabkan pembatalan itu, kerajaan akan berdepan dengan tuntutan ganti rugi berpuluh bilion ringgit, dan kerja-kerja yang sudah 20 peratus itu siap hanya sia-sia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast