Dr Halimah Ali
Dr Halimah Ali

KELANA JAYA – Hasrat Pakatan Harapan (PH) menjadi ‘juara’ dalam membawa isu agama membuktikan dakwah Parti Islam Semalaysia (Pas) khususnya di Selangor ternyata berkesan sejak 2008.

Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Dr Halimah Ali berkata, ia dapat dilihat apabila Kerajaan Negeri Selangor masih meneruskan inisiatif Pas itu termasuk bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR).

“Pegangan saya dalam Pas sebenarnya bukan politik sahaja, ia dakwah siasah, maknanya ia menjemput orang buat baik kerana Allah.

“Kalau ada orang kata dia nak juara agama, itu sangat bagus, maknanya dakwah kami berkesan kerana mengajak orang lain jadi baik.

“Apa yang dibuat sekarang adalah penerusan kepada perkara yang telah kami buat. Inisiatif itu saya mulakan dan masih diteruskan, tiada baharu dan tak timbul isu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Jamuan Rakyat Daging Korban Masak Kawah di Masjid Nurul Yaqin, di sini, hari ini.

Dr Halimah Ali
Calon PAS N.32 Dun Seri Setia, Dr. Halimah Ali beramah mesra bersama penduduk setempat semasa Jamuan Rakyat ‘Daging Korban Masak Kawah’ sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Masjid Nurul Yakin, Kelana Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 24 OGOS 2018.

Beliau mengulas kenyataan calon PH , Halimey Abu Bakar hari ini yang memberi amaran kepada Pas agar tidak mendabik dada hanya parti Islam itu sahaja layak bercakap mengenai Islam khususnya sepanjang kempen PRK Seri Setia.

Halimey berkata, PH bukan sahaja berkeupayaan membawa isu agama bahkan banyak kepentingan umat Islam di Selangor berjaya diselesaikan termasuk kenaikan elaun guru agama dan bantuan pembangunan SAR.

Halimah juga mendakwa, pemberian peruntukan dan pembangunan SAR di Selangor telah dimulakan beliau sendiri ketika mempengerusi portfolio pendidikan di negeri itu sejak 2008.

“Di bawah portfolio saya dulu ia dimulakan di mana peruntukan RM6 juta diberikan kepada SAR bermula daripada Bajet Selangor 2009.

“Bahkan Selangor tak cukup Sekolah Menengah Agama. Ketika itu diwujudkan Maahad Integrasi Tahfiz Sains (MITS), mula-mula di Jugra kemudian ditambah di Alam Impian, Sepang dan Pandan.

“Sasarannya ialah satu MITS satu daerah, itu pun tak cukup sebab orang Selangor ini nak pendidikan agama.

“Saya cari satu idea iaitu Sekolah Menengah KAFA atau Kelas Arab Menengah bermula di DUN Selat Klang, kemudian dikembangkan menjadi KAFA Menengah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast