Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (dua kiri) melawat tapak jualan kosmetik pada majlis Memupuk Wanita Keusahawanan di Paradigm Mall, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 25 OGOS 2018

PETALING JAYA – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR melarang calon yang memegang jawatan Menteri, Menteri Besar, anggota Exco dan apa sahaja yang berkaitan dengan kerajaan menganjurkan program bersama penyokong.

Sebaliknya, calon hanya dibenarkan menghadiri program yang dianjurkan oleh ahli dan penyokong parti, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail.

Beliau berkata, memandangkan PKR telah berjaya membentuk kerajaan Persekutuan dan memenangi beberapa negeri bersama Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, keaktifan calon yang memegang jawatan dalam kerajaan menjadi kebimbangan sesetengah calon lain.

“Hal perjalanan pemilihan parti ini di bawah kendalian JPP yang dipengerusikan Datuk Rashid Din, dan seperti yang dinyatakan oleh bakal Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, penekanannya dari segi pelanggaran etika kempen harus dilihat sebagai serius.

“Kita tidak mahu berlaku dalam kalangan (calon) yang memegang jawatan rasmi kerajaan ini menyalahgunakan kedudukan rasmi mereka untuk tujuan kempen,” katanya pada majlis Nurturing Entrepreneurial Women (Nawem) di Paradigm Mall, dekat sini, hari ini.

Menurut Saifudin, hal yang berkaitan dengan kehadiran calon dalam satu-satu majlis jika tidak melanggar etika parti, boleh diteruskan.

Katanya, kalau anggota parti hendak mengadakan majlis kemudian menjemput calon datang pada program itu, ia tidak terikat dengan syarat yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast