Calon PAS N.32 Dun Seri Setia, Dr. Halimah Ali. foto AFIQ RAZALI, 24 OGOS 2018.
Calon PAS N.32 Dun Seri Setia, Dr. Halimah Ali. foto AFIQ RAZALI, 24 OGOS 2018.

PETALING JAYA –Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu sehingga berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan disebabkan rakyat termakan dengan janji mereka untuk menurunkan kos sara hidup dan menghapuskan pinjaman PTPTN serta tol.

Calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali berkata, apabila PH memerintah sehingga 100 hari pertama, mereka tidak menunaikan janji itu, menyebabkan rakyat merasa kecewa.

“Macam-macam janji yang “best-best” mereka tabur dan bisikan. Tengok, selepas 100 hari mereka memerintah. Mereka kata tidak cukup masa (untuk tunaikan 10 janji). Bermacam-macam alasan diberikan.

“Kos sara hidup tidak menurun, malah maik naik. pinjaman PTPTN tidak dimansuhkan, bahkan diberi amaran supaya peminjam membayarnya dan tol pula tidak dihapuskan,” katanya pada program ceramah “Kenapa Kena Tolak PH” di Bilik Gerakan UPU PJS 5/13, dekat sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam dan kepimpinan UMNO Bahagian Petaling Jaya serta UMNO Bahagian Kelana Jaya, termasuk kepimpinan Pas Kawasan.

Menurut Dr Halimah, sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat, beliau tidak pernah dan tidak pandai berjanji, apatah lagi bercakap mengenai orang lain.

“Saya tak pandai nak cakap pasal orang lain dan saya adalah antara orang politik yang tak suka berjanji walaupun ia amalan bagi orang politik, lagi-lagi kalau dia nak menang PRU.

“Bagi saya, pekerjaan saya ini, perjuangan saya ini,  misi dan matlamat saya ini bukan setakat DUN Seri Setia, bukan setakat (negeri) Selangor dan bukan setakat (rakyat) Malaysia, tetapi hingga akhirat.

“Saya sedar apa yang saya lakukan ini berada dalam radar Allah dan kita pula bakal menjadi arwah dan di situ kita akan menjawab di hadapan Allah (apa yang kita janji kepada rakyat),” katanya.

Mengenai kerjasama Pas dengan UMNO, Dr Halimah berkata, beliau dan kepimpinan Pas tidak peduli apa pihak tertentu hendak kata kepada mereka.

Katanya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir Pas dan UMNO adalah parti adik beradik.

“Kita jawab, betullah tu.. nak kata apa pun katalah. Kita iyakan sahaja. Dan memang (kerjasama) ini patut dimulakan dahulu lagi, tetapi kita tidak sedar waktu itu,” katanya yang disambut dengan laungan takbir oleh hadirin yang hadir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast