KUALA LUMPUR – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja merosakan bahan kempen termasuk poster dan kain rentang calon MCA bagi kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) Balakong dianggap ‘samseng’ serta tidak boleh dimaafkan.
Menurut calon MCA bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Tan Chee Teong, pihaknya sangat kecewa apabila mendapati lebih 100 bahan kempen seperti bendera, poster dan kain rentang di seluruh kawasan Kampung Baru Kwan Tung, Balakong rosak malam tadi.
Chee Teong berkata, walaupun beliau tidak mahu menuding jari kepada sesiapa namun pada masa yang sama turut mengakui ini bukan sesuatu yang baru sebaliknya ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), perkara sama berlaku.
“Kemarahan dan kesabaran saya sebenarnya ada had. Mengapa tidak mahu berlawan secara ‘bersih’ dan telus? Mengapa perlu lakukan perkara negatif seperti yang sebenarnya amat merugikan?
“Dengan merosakkan dan menurunkan bendera dan poster kami, apa yang anda cuba sampaikan? Ini adalah budaya samseng yang kita tidak akan tolak ansur.
“Setakat ini, kami akan membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain daripada meminta pihak pemantau BERSIH bagi tangani pilihan raya ini.
“Jika tindakan ‘samseng’ ini berterusan dan keterlaluan, saya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.
Bahan-bahan kempen ini sengaja dirosakan dan diturunkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dipercayai lewat malam tadi dan hanya disedari oleh penduduk serta wakil MCA awal pagi tadi.
Jelas Chee Teong, PRK perlu dilaksanakan berdasarkan proses demokrasi dan bukan dengan cubaan-cubaan sabotaj seumpama ini.
“Budaya samseng seperti ini jangan cuba digalakkan kerana mereka sebenarnya mencemarkan proses demokrasi secara aman sebaliknya melakukan sesuatu yang di luar jangkaan.
“Kita tidak berniat untuk menuduh mana-mana pihak tetapi pada masa yang sama mahu semua pihak untuk membuka mata dan jangan sesekali menyokong budaya samseng seperti ini untuk kemenangan,” tegasnya.
PRK ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie yang terlibat kemalangan jalan raya 20 Julai lepas menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki, 32, dan Chee Teong, 40. – MalaysiaGazette