Tan Chee Teong
Tan Chee Teong

BALAKONG – Calon MCA, Tan Chee Teong tidak kisah sekiranya parti lawan hendak membuat laporan berhubung dakwaan terhadap pihak yang merosakkan bahan kempennya.

Menurut Chee Teong, beliau juga akan melakukan perkara sama bagi membuktikan dakwaannya itu.

“Saya sudah kata yang saya tidak mahu membuat laporan polis dan sebagainya berhubung perkara itu.

“Tetapi, sebagai sebuah negara demokrasi semua orang berhak untuk membuat laporan polis terhadap apa saja perkara.

“Saya cuma mahukan kita berkempen dengan mengikut amalan demokrasi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki yang mahu membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis berhubung dakwaan Chee Teong itu.

Dalam satu sidang media semalam Che Teong yang merupakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong mendakwa ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah sengaja merosakan bahan kempen termasuk poster dan kain rentangnya.

Beliau berkata, perkara yang berlaku dianggap satu perbuatan ‘samseng’ serta tidak boleh dimaafkan.

Katanya, lebih 100 bahan kempen seperti bendera, poster dan kain rentang di seluruh kawasan Kampung Baru Kwan Tung, Balakong telah dirosakkan oleh pihak terbabit.

Walaupun beliau tidak mahu menuding jari kepada sesiapa namun, pada masa yang sama turut mengakui ini bukan sesuatu yang baru sebaliknya ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), perkara sama berlaku. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/08/25/saya-tidak-teragak-agak-buat-laporan-polis-calon-mca/