KUALA LUMPUR – Menteri Industri Utama Teresa Kok menafikan dakwaan bahawa lawatan Tun Dr. Mahathir Mohamad ke China baru-baru ini merupakan “satu bencana diplomasi” .
Berlainan dengan analisis tertentu yang memberi pandangan negatif itu, Teresa berkata, beberapa “perkara kecil” dalam lawatan Perdana Menteri ke China menunjukkan Beijing amat menghormati Dr. Mahathir.
“Dalam jamuan rasmi yang diadakan, menu makanan tercetak petikan percakapan Dr. Mahathir dan Presiden Xi Jinping semasa lawatan beliau ke Malaysia pada 2013. Keadaan ini menunjukkan China menghormati Dr. Mahathir,” katanya kepada China Press.
“Ada laporan yang menyebut bahawa Perdana Menteri China, Li Keqiang memaksa diri untuk senyum ketika berjabat tangan dengan Dr. Mahathir.
“Ada juga yang berpendapat Dr. Mahathir menyindir China ketika menjawab soalan pemberita.
Teresa sebaliknya berkata, lawatan Dr. Mahathir ke China adalah berjaya dengan perbincangan-perbincangan dijalankan secara baik.
Katanya, kehadiran Menteri Luar China, Wang Yi untuk menerima kehadiran Dr. Mahathir di lapangan terbang merupakan satu lagi tanda Beijing menitik berat lawatan Dr. Mahathir. – MalaysiaGazette