Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar (kanan) mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai pada Bulan Kemerdekaan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Pusat Penjaja SS5d/2 Kelana Jaya, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 27 OGOS 2018
Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar (kanan) mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai pada Bulan Kemerdekaan sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Pusat Penjaja SS5d/2 Kelana Jaya, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 27 OGOS 2018

PETALING JAYA – Halimey Abu Bakar berjanji akan cuba sebaik mungkin untuk menunaikan permintaan golongan belia dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, sekiranya beliau diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 8 September ini.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH) itu, antara permintaan belia Seri Setia menerusi memorandum yang diserahkan kepadanya dalam satu majlis di Daerah Mengundi (DM) Desa Mentari, dekat sini, malam tadi, ialah ruang untuk sukan dan riadah.

“Semalam (malam tadi) kita ada menerima memorandum dari anak-anak muda kawasan Seri Setia, yang saya tengok kebanyakan mereka merasakan tempat di DUN ini terlalu padat untuk mereka bersukan. Jadi, mereka minta sediakan ruang untuk mereka.

“Contohnya, kita sudah ada gelanggang futsal, tapi bilangan agak berkurangan. Selain itu, ada juga minta litar lumba. Kita akan kaji tengok macam mana.

“Saya tak cakap saya tolak, saya tak cakap saya terima. Tapi saya akan kaji mungkin ada kawasan yang kita boleh berbincang dengan pihak tertentu,” katanya pada sidang media hariannya di Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.

Menurut Halimey, ada satu dua tempat yang beliau kenal pasti tanah terbiar, tetapi bukan milik kerajaan negeri.

Ia katanya, tanah milik syarikat, yang mungkin beliau boleh berbincang dengan pemiliknya untuk menunaikan permintaan golongan belia.

Selain itu, jelas beliau, di DUN Seri Setia juga mempunyai gelanggang tomoi dan beliau telah berbincang dengan pengerusi sukan itu untuk bekerjasama menganjurkan pertandingan di peringkat negeri di kawasan itu.

“Kita akan kaji memorandum yang mereka berikan kepada saya semalam. Saya akan teliti, saya akan berbincang untuk pastikan anak muda kita tidak dipinggirkan di kawasan Seri Setia ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast