HARI kesembilan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Pas mula memperhebatkan jenteranya turun ke semua Pusat Dalam Mengundi (PDM) bagi memastikan calonnya dalam menyeimbangkan majoriti yang tertinggal jauh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Gerak kerja dari seluruh jentera parti itu, termasuk dibantu jentera UMNO, MIC dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diyakininya dapat memberi cabaran sengit kepada calon Pakatan Harapan (PH) menjelang hari mengundi pada 8 September ini.
Hal ini dinyatakan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang pada mulanya mengakui gerak kerja Pas agak perlahan bermula hari pertama kempen selepas hari penamaan calon pada 18 Ogos lalu, berikutan persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha.
“Semalam Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Operasi Pas telah bermesyuarat. Kita menerima beberapa laporan daripada jawatankuasa operasi dan jawatankuasa gerak kerja di peringkat bawahan dan juga jentera di peringkat negeri.
“Dalam mesyuarat itu juga kita telah menyelaraskan beberapa program yang melibatkan jentera, khususnya jentera pembantu di seluruh negeri, dan saya mengalu-alukan kehadiran mereka.
“Mulai hari ini kita jangka (jentera) semua negeri akan turun mengikut zon yang telah kita putuskan. Kita telah membahagikan empat zon dalam gerak kerja kempen kali ini dan semua jadual program telah disusun, diatur dan setakat ini gerak kerja kita berjalan dengan lancar dan calon kita pun sudah banyak turun dalam kempen-kempen termasuk waktu hari perayaan (Hari Raya Aidiladha),” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, pihaknya menerima beberapa masalah yang dibangkitkan oleh masyarakat DUN Seri Setia berhubung kerjasama politik khususnya bagi pihak UMNO.
Bagi Pas, katanya, parti itu mengalu-alukan semua pihak, iaitu mana-mana pihak yang ingin membantu Dr Halimah Ali dalam PRK ini dialu-alukan termasuk jentera UMNO yang telah turun mengikut zon yang disusun, dan penyelarasannya di bawah Jawatankuasa Induk Pas.
Semua program, sama ada di peringkat zon dan peringkat tertinggi diselaraskan secara teratur dan harmoni.
Selain UMNO, menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, MIC dan NGO juga turut turun membantu dan mereka bergerak bersama calon serta mengikut parti masing-masing dengan satu matlamat, iaitu agar pengundi mengundi calon Pas.
Beliau mengakui, majoriti diperolehi calon penyandang pada PRU14 baru-baru ini agak besar, tapi ‘mood’ rakyat dalam PRK kali ini agak baik dan Pas berusaha semaksima mungkin untuk merapatkan jurang.
“Dalam beberapa hari kempen ini kita lihat kesannya (penerimaan masyarakat) amat positif,” katanya.
Di Selangor, selepas PRU 14 pada 9 Mei lalu, menyaksikan tiga PRK diadakan setakat ini berikutan kematian penyandang, iaitu ADUN Sungai Kandis (Allahyarham Mat Shuhaimie Shafiei 2 Julai), ADUN Balakong (Ng Tien Chee 20 Julai) dan ADUN Seri Seri (Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin 2 Ogos).
Dalam PRK Sungai Kandis, blok pembangkang bersetuju UMNO dari Barisan Nasional (BN) bertanding, manakala PRK Balakong diberikan kepada MCA juga dari BN, dan PRK Seri Setia kepada Pas.
Sebagai blok pembangkang, yang tertubuh secara ‘atas kertas’ sebaik BN kalah teruk sehingga hilang pusat pentadbiran Putrajaya pada PRU14 yang lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersetuju untuk menyokong team pembangkang dalam PRK Balakong (MCA), Sungai Kandis (UMNO) dan Seri Setia (Pas).
Pas akui, peratusan keluar mengundi yang direkodkan pada PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos yang lalu tidak sampai 50 peratus, maka PRK Seri Setia pada 8 September ini akan menjadi satu ujian yang lain, sebab Pas yang bertanding dan UMNO yang akan membantu.
Walaupun beliau sendiri sedar kemungkinan peratusan keluar mengundi pada 8 September ini lebih rendah dari peratusan yang dicatat pada PRU14, tetapi beliau menjangkakan, lebih tinggi daripada PRK Sungai Kandis.
“Oleh kerana kedudukan pengundi yang dalam lokaliti tidak ada pengundi luar yang ramai, kemungkinan peratusan mengundi naik sedikit (melebihi 50 peratus) daripada PRK Sungai Kandis baru-baru ini,” katanya.
Mengulas mengenai sejauhmana MCA menurunkan jenteranya membantu Pas di Seri Setia, Tuan Ibrahim menjelaskan, setakat ini parti komponen BN itu tidak turun berkempen, kerana mungkin mereka memberi tumpuan kepada calonnya di DUN Balakong. – MalaysiaGazette