Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) meluluskan pengecualian hilang kelayakan kepada Rafizi Ramli bagi membolehkan pemimpin PKR itu bertanding dalam pemilihan parti.

Ketua Pengarah ROS, Masyati Abang Ibrahim berkata, kelulusan itu adalah berdasarkan Seksyen 9A(4) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

“Beliau telah memohon pengecualian untuk memegang jawatan dalam pertubuhan berdaftar di Malaysia dengan mengemukakan surat permohonan bertarikh 9 Julai 2018 dan ROS telah meluluskan permohonannya berkenaan pengecualian tersebut melalui surat bertarikh 20 Julai 2018.

“ROS menegaskan bahawa tiada sebarang layanan istimewa diberikan kepada mana-mana individu dalam memohon pengecualian hilang kelayakan dalam memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan berdaftar di Malaysia.

“Sebaliknya, setiap pengecualian adalah berdasarkan kepada permohonan yang dikemukakan oleh mana-mana individu dan diproses mengikut prosedur tetap operasi (SOP) mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pemimpin PKR itu sebelum ini didapati bersalah mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, tetapi dibebaskan daripada tuduhan memiliki dokumen itu, yang diklasifikasikan sebagai OSA.

Pada 1 Jun lalu, mahkamah membebaskan beliau dengan bon tingkah laku baik RM10,000 selama dua tahun.

Rafizi didapati bersalah mendedahkan laporan itu semasa sidang akhbar di lobi Parlimen pada kira-kira pukul 3 petang 28 Mac tahun lalu yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 8 (1) (c) (iv) OSA.

Di bawah OSA, seseorang boleh dijatuhi hukuman minimum 12 bulan atau sehingga tujuh tahun penjara.

Akibat keputusan mahkamah itu, Rafizi tidak mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette