Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada hari ini telah membincangkan dua isu yang menjadi pertanyaan ramai pihak iaitu Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Forest City di Johor.
Projek pembangunan Forest City di Johor

KUALA LUMPPUR – Pemaju Forest City, Country Garden Pacificview Sdn Bhd. akan mendapatkan penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri berhubung kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Malaysia tidak akan membenarkan warga asing membeli kediaman di kawasan projek itu.

Ini kerana kenyataan Dr Mahathir itu tidak sama dengan perbincangan antara Perdana Menteri itu dengan Pengerusi Country Garden Holdings, Yeung Kwok Keung.

Syarikat itu dalam kenyataannya percaya, kemungkinan kenyataan Dr Mahathir telah dilaporkan di luar konteks oleh sesetengah media.

“Mereka mengadakan pertemuan tertutup selama 40 minit dengan Dr Mahathir pada 16 Ogos, 2018, sebelum lawatannya ke Beijing,” katanya.

“Pada pertemuan itu, Dr Mahathir mengalu-alukan pelaburan asing kerana dapat mewujudkan peluang pekerjaan, menggalakkan pemindahan teknologi dan inovasi yang dapat memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” kata Country Garden.

Syarikat itu menambah, ia telah mematuhi semua undang-undang dan peraturan dengan kelulusan yang diperlukan untuk menjual unit kediaman dan komersialnya kepada warga asing.

Ia mengikut Seksyen 433B Kanun Tanah Negara, yang mana individu bukan warga negara dan syarikat asing boleh memperoleh tanah di Malaysia hanya dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

Katanya, syarikat itu tidak mengeluarkan Penduduk Tetap (PR) kepada pembeli projek Forest City.

Semalam, Dr Mahathir berkata, Malaysia tidak akan membenarkan warga asing untuk membeli unit kediaman dalam projek Forest City di Johor. – MalaysiaGazette