KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan merekodkan sebanyak 55,860 kes Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD) dilaporkan di Malaysia sejak 1 Januari 2018 hingga 27 Ogos 2018.
Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 30,790 kes atau 122.8 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas yang mencatatkan 25,070 kes.
“Sejak Januari 2018 sehingga 27 Ogos 2018 jumlah kes HFMD yang dilaporkan di Sabah adalah 3,427 kes; Pulau Pinang 3,767 kes; Negeri Sembilan 2,388 kes dan Terengganu 875 kes,” katanya pada sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab tiga pertanyaan lisan Ahli Dewan Negara iaitu Senator Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, Engku Naimah Engku Taib dan Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah terkini mangsa kes HFMD di seluruh negara.
Boon Chye juga berkata, hampir 89 peratus daripada kes HFMD yang dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur bawah tujuh tahun.
“Sehingga kini, terdapat dua kematian HFMD dilaporkan di Malaysia iaitu seorang kanak-kanak berumur dua tahun lima bulan dari Sarawak dan seorang lagi berumur setahun lima bulan dari Pulau Pinang,” katanya.
Katanya lagi, sebagai langkah menangani penularan wabak itu, sebanyak 23,875 premis termasuk taska, tadika, tabika dan pra-sekolah telah dijalankan lawatan penerangan.
“Penekanan diberikan kepada lima perkara utama iaitu penjagaan kebersihan diri, amalan mencuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran, saringan di pintu masuk dan disinfeksi permukaan yang tercemar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.