PETALING JAYA – Dr. Halimah Ali akan memberi perhatian sewajarnya kepada golongan miskin bandar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.
Calon Pas itu berkata, tumpuan akan diberikan khusus jika beliau menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu 8 September ini memandangkan kawasan berkenaan terletak dalam Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Kita melihat akan status Seri Setia ini yang terletak dalam MBPJ dan sewajarnya masyarakat miskin bandar ini diberi perhatian.
“Sebagai standard bandar raya, antara tumpuan yang akan kita berikan ialah perkara berkaitan dengan taraf hidup rakyat, isu perumahan, infrastruktur dan kebersihan,” katanya pada sidang media selepas melawat dan meninjau petugas media bertugas di Pusat Media di Kelana Jaya hari ini.
Beliau yang diiringi dua Naib Presiden Pas, iaitu Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, parti itu memilihnya sebagai calon yang walk the talk memandangkan pengalaman Halimah melaksanakan beberapa program berkaitan menyelesaikan permasalahan rakyat sebagaimana dilakukannya ketika menjadi wakil rakyat di DUN Selat Klang sebelum ini.
Halimah memberitahu, sepanjang 12 hari berkempen, beliau dan jenteranya telah berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat membabitkan golongan miskin, sederhana miskin dan kaya.
“Dengan golongan miskin, antara aduan dan permasalahan yang membelenggu mereka ialah perumahan, kebajikan penduduknya tidak dipeduli dan tidak diberikan perhatian serius oleh kerajaan yang memerintah.
“Penduduk, termasuk golongan wanita dan anak muda, semuanya menyambut kedatangan saya. Mereka berkongsi masalah dan rata-ratanya menzahirkan rasa kecewa kerana permasalahan mereka tidak dipedulikan,” katanya.
Jelas beliau, aduan yang diterimanya agak ketara, antaranya berkaitan dengan sosio ekonomi, tekanan hidup, sampah dan ruang tempat meletak kereta yang terhad di setiap perumahan.
“Letak kereta dalam keadaan tidak tersusun dan sesak. Tuan punya kenderaan tidak boleh tarik brek tangan kerana itu akan menghalang kenderaan lain nak keluar.
“Bayangkan kalau ibu mengandung hendak tolak kereta yang menghalang kenderaannya, sedangkan dia dalam kecemasan hendak bersalin.
“Ini masalah yang patut diatasi oleh kerajaan negeri, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil untuk mengatasinya, walaupun telah banyak kali aduan dikemukakan,” katanya.
Halimah berkata, beliau adalah calon yang bekerja untuk semua pengundi dalam DUN Seri Setia dan tidak kira kaum, kerana beliau bertanggungjawab serta sayang kepada semua pengundinya. – MalaysiaGazette