Petronas
Gambar fail: Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan menaikkan pembayaran faedahnya kepada kerajaan sebanyak RM24 bilion tahun ini berbanding RM16 bilion pada 2017 atau kira-kira 50 peratus lebih tinggi daripada tahun lepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, ini didorong oleh prestasi lebih baik syarikat minyak negara itu pada separuh pertama tahun ini.

Angka tersebut juga lebih tinggi berbanding RM19 bilion yang diumumkan Petronas awal tahun lalu.

Pada suku kedua berakhir 30 Jun lalu, Petronas mencatatkan keuntungan bersih lebih dua kali ganda kepada RM11.56 bilion berbanding RM5.18 bilion bagi tempoh sama tahun lalu, disokong oleh perolehan yang lebih tinggi serta kos yang lebih rendah.

Pada separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih Petronas melonjak sebanyak 71.53 peratus kepada RM22.96 bilion berbanding RM13.39 bilion tahun sebelumnya.

“Prestasi Petronas menunjukan penambahbaikan berterusan dalam perniagaan-perniagaan kami serta pengurusan operasi yang lebih baik.

“Kami juga mengambil manfaat daripada harga minyak yang lebih tinggi ketika ini,” katanya semasa mengumumkan prestasi kewangan syarikat di sini hari ini.

Perolehan syarikat bagi separuh pertama 2018 naik 8.33 peratus kepada RM117.16 bilion berbanding RM108.15 bilion tempoh sama tahun lalu.

Pada separuh pertama 2018, harga minyak mentah Brent berada pada purata AS$70.56 setong berbanding AS$51.80 setong tempoh sama 2017. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast