Datuk Ahmad Yakob
Ahmad Yakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pas Kelantan telah bertemu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung operasi merobohkan halangan di Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Pasik di Gua Musang, baru-baru ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, Suhakam menerima baik penjelasan yang diberikan kerana mematuhi apa yang diputuskan mahkamah sebelum ini.

“Kami telah jumpa Suhakam dan mereka terima baik penjelasan.

“Apa yang diputuskan di mahkamah sebelum ini sama dengan apa yang kita buat. Kita beri tanah untuk usaha cucuk tanam serta beri tapak rumah.

“Dan kawasan yang jadi masalah itu telah dijadikan kawasan perlindungan,” katanya.

Beliau ditemui pihak media selepas menghadiri majlis pelancaran bangunan baharu International Da’wah Institute – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) (IDIP-KL) di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahmad diminta mengulas operasi merobohkan halangan di Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Pasik baru-baru ini yang berlaku dalam suasana penuh emosi.

Ini kerana sebahagian penduduk Orang Asli yang tidak berganjak menitiskan air mata melihat tindakan pihak berkuasa meranapkan sekatan yang dibina bagi mempertahankan tanah adat yang didakwa milik mereka.

Operasi bersepadu de­ngan kekuatan kira-kira 400 pegawai dan anggota terdiri daripada petugas Jabatan Perhutanan, polis, Pejabat Ta­nah dan Galian, Angkatan Pertahanan Awam dan beberapa agensi lain itu bermula pada pukul 10 pagi secara se­rentak di Kampung Depak, Pos Tohoi; Cawas, Pos Bihai dan Kuala Wook, Pos Pasik.

Di setiap pos itu, terdapat kira-kira 100 Orang Asli termasuk Orang Asli wanita dan kanak-kanak menyaksikan tindakan pi­hak berkuasa merobohkan sekatan mereka. – MalaysiaGazette