Abdel Fattah al-Sisi . Foto Reuters

KAHERAH – Kerajaan Mesir mula menguatkuasakan undang-undang yang membolehkan pihak berwajib untuk mengawal dan mengetatkan penggunaan media sosial oleh rakyatnya.

Agensi melaporkan, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi bertindak sedemikian bagi memastikan berkuasa memantau pengguna media sosial di negara ini sebagai sebahagian daripada usaha mengetatkan kawalan ke atas internet.

Abdel Fattah telah menandatangani sebuah rang undang-undang yang membenarkan pihak berwajib seperti kerajaan dan hakim menyekat mana-mana laman sesawang pada bila-bila masa yang disifatkan memberi ancaman kepada keselamatan negara ini.

Mereka juga diberi kuasa untuk menyekat dan melaksanakan penggantungan sementara akuan peribadi yang didakwa menyiarkan laporan palsu dan tidak benar selain daripada menghasut mana-mana pihak melakukan tentangan.

Terdahulu, pada Julai lepas pula, sebuah rang undang-undang telah diluluskan dengan memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi bagi Peraturan Media untuk mengawasi pengguna media sosial termasuk blog dan web peribadi yang mempunyai lebih daripada 5,000 pengikut.

Bagaimanapun, tindakan keras oleh Abdel Fattah ini mendapat kritikan terutamanya daripada badan-badan hak asasi yang menyifatkan ianya sebagai penyekatan suara melalui penggunaaan media sosial

Persatuan Kebebasan Pendapat dan Ekspresi yang berpangkalan di Kaherah berpendapat sudah lebih 500 laman web disekat di Mesir sebelum undang-undang baru itu diperkenalkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast