Wa Lone dan Kyaw Soe Oo dikenakan hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Myanma pada September tahun lalu. foto Agensi

YANGON – Dua wartawan Reuters dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara selepas didapati bersalah kerana melanggar undang-undang rahsia negara di Myanmar.

Hakim berkata, Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, melanggar Akta Rahsia Rasmi ketika mengumpulkan dan memperoleh dokumen rahsia.

“Defendan-defendan telah melanggar Seksyen 3.1 Akta Rahsia Rasmi dan mereka dikenakan hukuman tujuh tahun penjara,” kata hakim itu.

Hukuman itu dikenakan mulai tarikh mereka ditahan pada 12 Disember.

Bagaimanapun, kedua-duanya boleh memohon untuk rayuan kepada Mahkamah Serantau dan kemudian Mahkamah Agung.

Kedua-dua wartawan itu mengaku tidak bersalah dan memaklumkan kepada mahkamah bahawa dokumen itu telah memalsukan dokumen ke atas mereka semasa melaporkan keganasan tentera Myanmar ke atas penduduk Rohingya di Rakhine.

Sementara itu, Ketua Pengarang Reuters, Stephen J Adler berkata, hari ini merupakan hari malang bagi Myanmar, Wa Lone dan Kyaw Soe Oo dan media di mana sahaja.

“Kami tidak akan menunggu sementara Wa Lone dan Kyaw Soe Oo menderita akibat ketidakadilan ini dan akan menilai bagaimana untuk meneruskan masa depan, termasuk sama ada untuk mendapatkan bantuan dalam forum antarabangsa,” katanya.

Wa Lone dan Soe Oo telah memberitahu mahkamah terdapat dua pegawai polis menyerahkan dokumen kepada mereka di sebuah restoran di bandar Yangon, sebelum pegawai lain menangkap mereka.

Seorang saksi polis memberi keterangan bahawa pertemuan restoran itu adalah satu usaha untuk memerangkap wartawan berkenaan bagi menghalang atau menghukum mereka kerana melaporkan pembunuhan beramai-ramai komuniti Rohingya di Rakhine. – MalaysiaGazette