KUALA LUMPUR – Pembebasan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon daripada dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran ternyata ‘menghairankan’ pelbagai pihak.

Terbaru, Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel mendesak Pejabat Peguam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil memberi penjelasan sewajarnya berikutan pembebasan tersebut.

Menurut Cynthia, pembebasan itu telah menimbulkan persoalan besar tentang kebebasan institusi kerajaan daripada kepentingan parti politik.

Jelasnya, rakyat memerlukan penjelasan yang lebih telus dan benar dan bukannya sekadar kenyataan ‘terkejut’ daripada pihak SPRM bahawa mereka tidak pasti dengan pembebasan tersebut.

“Umum tahu Tan Sri Mohamed Apandi Ali (bekas Peguam Negara) amat yakin dengan pendakwaan terhadap Guan Eng sebelum ini tetapi apa yang berlaku pada hari ini sangat berlainan.

“Jika Peguam Negara ketika itu cukup yakin dengan pendakwaan kes ini, bagaimana dengan begitu mudah sahaja ianya telah digugurkan oleh Mahkamah Tinggi hari ini?

“Kita mahu penjelasan yang nyata dan telus, apakah keperluan ketika itu untuk mendakwa Guan Eng dan kini dibebaskan daripada kes ini? Timbul persoalan, seandainya Peguam Negara yang dulu dipaksa untuk membuat pendakwaan di mahkamah, atau sistem ini sentiasa menyebelahi kerajaan yang memerintah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas keputusan itu dibuat Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail  pada prosiding hari ini yang ditetapkan untuk mengetahui keputusan representasi yang dihantar oleh tertuduh-tertuduh  ke Pejabat Peguam Negara pada bulan lalu.

Terdahulu pada prosiding itu Timbalan Pendakwa Raya,  Datuk Masri Mohd. Daud memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah menerima dan meneliti representasi yang dikemukakan pihak pembelaan dalam kes itu.

Sehubungan itu, pihaknya memutuskan pada peringkat ini untuk menarik balik pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh dan memohon mahkamah agar melepas tanpa membebaskan mereka.

Tambah Cynthia yang juga merupakan seorang aktivis sosial, badan kerajaan seperti Pejabat Peguam dan SPRM sepatutnya bertindak tanpa rasa takut atau berpihak kepada mana-mana pihak tanpa sokongan politik.

“Umum mahukan jaminan kukuh bahawa motif dalam dakwaan rasuah ini sah atau tidak sebenarnya. Ini tidak seharusnya bersandarkan motif politik. Jika benar, maka perlu ada keperluan untuk pisahkan institusi ini dari campur tangan politik pada masa depan.

“SPRM juga sepatutnya mengambil tanggungjawab dan tidak menolak ‘bulat-bulat’ kepada Peguam Negara dengan menyatakan rasa terkejut sebaliknya perlu jelaskan kepada umum tentang pertuduhan ini dengan jelas dan neutral,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast