PETALING JAYA – Halimey Abu Bakar menyangkal dakwaan beliau mengambil kesempatan menggunakan jentera kerajaan ketika berkempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.
Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kehadiran Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke kawasan itu baru-baru ini adalah atas kapasiti Presiden PKR, begitu juga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu datang atas jawatan Presiden Parti Amanah Negara (PAN).
“Mana yang dikatakan (dituduh) saya menggunakan platform kerajaan untuk berkempen? Mereka datang dan kami adakan pertemuan serta perbincangan atas nama parti.
“Contohnya, malam ini Mohamad (Mat Sabu) datang ke Seri Setia berjumpa anggota tentera. Kehadirannya sebagai Menteri Pertahanan, tetapi selepas itu kami berjumpanya atas kapasiti beliau Presiden PAN,” katanya pada sidang media hariannya di Bilik Gerakan Utama, dekat sini, hari ini.
Ditanya mengenai hari mengundi awal esok, beliau menjelaskan, sudah berjumpa dengan anggota polis dan tentera menerusi program walkabout beberapa hari lalu.
“Saya rasa tidak ada masalah kerana saya sudah bertemu mata dengan mereka, dan bertanya khabar mengenai tugasan masing-masing dalam suasana harmoni,” katanya.
Berhubung kebajikan Orang Kelainan Upaya (OKU), Halimey berkata, beliau mempunyai program tersendiri dengan golongan itu dalam tempoh terdekat ini.
Ujarnya, Dr Wan Azizah sebelum ini pun ada program dengan golongan itu.
“Beberapa hari sebelum mengundi (8 September ini) kami akan bangkitkan isu khas OKU. Ini menunjukkan kita sentiasa mengambil berat pasal mereka,” katanya. – MalaysiaGazette