Datuk Mohd Ridzuan Abdullah
Presiden IKHLAS Malaysia, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bercakap kepada media selepas selesai kes tahanan SOSMA di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 SEPTEMBER 2018.

SHAH ALAM – Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) akan berjumpa dengan Peguam Negara, Tommy Thomas dalam masa terdekat untuk mendesak memansuhkan akta zalim seperti mana terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata, sehingga kini janji Peguam Negara itu untuk sekurang-kurangnya meminda Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) masih belum tertunai.

“Walaupun Peguam Negara sudah umumkan tahanan SOSMA ini akan dipinda pertuduhan tersebut, hari ini kita lihat masih belum ada apa-apa perubahan.

“Kita akan jumpa Peguam Negara dapatkan satu tarikh temujanji kita nak bincangkan isu ini yang melibatkan janji Kerajaan PH di mana SOSMA akan dimansuhkan,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

MGF03092018_KESSOSMA_03
Presiden IKHLAS Malaysia, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bercakap kepada media selepas selesai kes tahanan SOSMA di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 03 SEPTEMBER 2018.

Sebelum ini, Tommy Thomas mempertimbangkan untuk meminda pertuduhan terhadap kira-kira 400 tahanan di bawah SOSMA untuk membolehkan mereka dibicarakan.

Ini susulan perjanjian dengan sekumpulan tahanan SOSMA di Penjara Sungai Buloh untuk menghentikan mogok lapar mulai Jumaat hingga Ahad lalu.

Setakat 27 Ogos lalu, 442 tahanan direman di bawah Seksyen 13 SOSMA kerana menganggotai pelbagai kumpulan jenayah terancang dan bergaul atau membantu kumpulan itu, yang merupakan kesalahan di bawah Bab VIB Kanun Keseksaan.

Mohd Ridzuan juga berkata, sebutan kes ke atas 38 tahanan SOSMA di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini akan disambung perbicaraannya pada 27 September ini di Penjara Kajang susulan jumlah pesalah yang ramai.

“Hari ini kita lihat kes ini masih disebut sahaja dan sebutan pada 27 September ini.

“Sebab ini janji PH ini peguam negara perlu main peranan segerakan isu ini kalau boleh selesai dalam bulan September ini,” katanya.

Katanya lagi, langkah menyegerakan pindaan atau pemansuhan SOSMA itu perlu dilakukan bagi membebaskan ahli keluarga tahanan daripada terus diberi tekanan.

“Hari ini keluarga dan rakyat yakin dengan kerajaan, maka kita mohon peguam negara segerakan pindaan tersebut supaya mereka dapat keadilan di mana keluarga masing-masing dalam keadaan situasi tekanan dan sebagainya.

“Segala harta benda termasuk isteri dan anak telah dibekukan ini yang sedang berlaku,” katanya lagi. – MalaysiaGazette