SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor memerlukan seorang wakil rakyat pembangkang yang arif tentang pentadbiran negeri itu khususnya untuk memantau penggunaan wang rizab negeri yang kini amat membimbangkan.
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan Kerajaan Selangor yang membeli syarikat konsesi air baru-baru ini lebih tinggi berbanding rizab negeri boleh menyebabkan dana awam terjejas.
“Apabila kita beli air lebih mahal daripada apa yang kita sepatutnya beli, iaitu RM2.3 bilion, kalau jumlah itu kita bayar, rizab Selangor tinggal kosong.
“Siapa kita nak salahkan? Kita sendiri yang bersalah sebab tuan-tuan yang memilih orang yang jaga Selangor.
“Sebab itu kita perlu seorang wakil rakyat yang pernah jadi Exco dan Adun untuk pantau Kerajaan Negeri Selangor iaitu Dr Halimah Ali daripada Pas,” katanya dalam Ceramah Mega PRK N32 Seri Setia di padang futsal, TTDI Jaya, di sini, malam tadi.
Abdul Khalid juga berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor perlu disemak semula melalui wakil rakyat Pas yang berpengalaman selama lima tahun sebagai Exco Selangor.
“Kita bernasib baik mendapat Dr Halimah, dapat mencuba sekali lagi untuk mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor melalui Seri Setia.
“Dr Halimah mempunyai keikhlasan dan ketabahan untuk melakukan apa yang betul dalam pentadbiran kerajaan negeri hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette