KUALA LUMPUR – Pas menggesa pengundi di DUN Seri Setia membuat perubahan dengan mengundi calon parti itu, Dr Halimah Ali sebagai tanda protes terhadap beban Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mula membelenggu rakyat.
Pengenalan semula sistem cukai itu hanya mengitar kembali masalah yang sama dan langsung tidak mampu menyelesaikan masalah pokok, iaitu kenaikan harga barang dan meningkatkan beban kos sara hidup rakyat.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, campur tangan kerajaan terhadap pasaran dengan menggunakan mekanisme cukai kepenggunaan sebenarnya membebankan rakyat.
Katanya, cukai jualan lima peratus dan 10 peratus yang dikenakan terhadap pengilang akan membawa kepada kenaikan kos pengeluaran.
“Begitu juga cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus secara tidak langsung masih membebankan rakyat seperti pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang lalu.
“Malah, bagi sesetengah keadaan, pengguna dikenakan dua kali beban cukai atau pun tiga kali kerana sesetengah pihak hotel dan restoran mengenakan caj servis sebanyak 10 peratus,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Justeru, menurut Nasrudin, dengan memberi undi kepada Dr Halimah, ia sebagai tanda protes mereka kepada pemerintahan Pakatan Harapan (PH), selain menunjukkan solusi yang dikemukakan kerajaan baharu itu tidak matang.
Jelas beliau, keadaan ini berbeza dengan Pas, yang mana asas percukaian dikenakan tidak membebankan rakyat khususnya golongan B40 dan M40 serta tidak menyukarkan kerajaan untuk mendapatkan hasil.
Katanya, Pas mempunyai formula cukai tidak membebankan, hanya kepada golongan satu peratus hingga tiga peratus dalam kalangan T20 dengan kadar yang sangat munasabah iaitu sekitar 2.5 peratus jika diberi mandat memerintah negara pada PRU akan datang.
“Sebagai langkah awal menuju PRU 15 nanti, berilah peluang kepada Pas untuk menampilkan solusi berdasarkan tasawwur Islam dan mengutamakan kebajikan rakyat melalui kemenangan dalam PRK Seri Setia 8 September ini. – MalaysiaGazette