Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berharap tuduhan peningkatan hutang negara kepada RM1 trilion dan dakwaan kehilangan wang Tabung Bayaran Balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDM) sebanyak RM35 bilion bukan dibuat secara ‘hantam’ (hentam).

Sindiran itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa telah ‘hantam’ dalam mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barangan makanan laut yang biasa dibeli oleh rakyat.

“Kita harap tuduhan hutang negara tiba-tiba dinaikkan menjadi RM1 trilion ataupun tuduhan wang GST/LHDN RM35 bilion “dirompak” tidak dikeluarkan oleh beliau sekadar dengan main “hantam” sahaja juga,” kata Najib menerusi Facebook beliau.

Dalam kenyataannya tersebut, Ahli Parlimen Pekan itu mengakui beliau terkejut dengan kenyataan Guan Eng apabila beliau ‘hantam’ dalam mengenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus ke atas barangan.

“Saya amat terkejut dengan jawapan beliau. Dia (Lim Guan Eng) menjawab bahawa dia keliru dengan klasifikasi barang-barang basah ini, oleh itu beliau kata dia “hantam” sahaja supaya semua dikenakan cukai jualan 10 peratus,” katanya.

Disebabkan ‘hantam’, kata Najib, orang miskin perlu bayar cukai 10 peratus ke atas semua makanan-makanan mentah ini.

Dalam sidang akhbarnya semalam, Guan Eng mengaku tersilap apabila mengenakan SST 10 peratus makanan mentah laut seperti kerang, udang, ketam dan sotong

“Anda tahu apa Norway lobster, lobster crab, anda tidak tahu. Bila semua (senarai) ada di sini saya ingat semua mewah, hantam SST 10 peratus. Sebab dia di bawah satu kumpulan,” kata Guan Eng.

Najib mendakwa, apapun, banyak lagi makanan mentah dan minimum seperti air tin dan air mineral lain masih dikenakan cukai jualan 5 peratus ataupun 10 peratus dan juga akan dikenakan cukai berganda jika dihidangkan di restoran.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kewangan dapat meneliti dan menambah baik senarai SST agar makanan, minuman dan bahan asas golongan B40 tidak dikenakan cukai seperti yang dikecualikan di bawah GST dahulu. – MalaysiaGazette