KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan runcit dalam pasaran modal, dengan meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi pelancaran kempen ‘Invest Bursa, Invest in You” mulai bulan ini.
Dalam satu kenyataan, Bursa Malaysia berkata, penyertaan pelabur runcit atau individu dalam pasaran modal Malaysia pada masa ini masing-masing hanya 22 peratus, dan sehingga 31 Julai, 1.9 juta akaun individu dalam Sistem Depositori Berpusat, berdaftar dengan Bursa.
Bursa juga berkata data yang dikumpul daripada bank-bank pusat serantau dan pihak berkuasa kewangan, menunjukkan Malaysia mempunyai tahap Deposit Tetap (FD) tertinggi dalam kalangan rakan serantau. Sehingga Jun 2018, akaun FD di Malaysia berjumlah US$ 209 bilion.
Ini berbanding US$166 bilion di Singapura, US$148 bilion di Indonesia dan US$156 bilion di Thailand. Data menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia membuat tabungan dalam FD.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan berkata apabila rakyat Malaysia menyimpan sebahagian besar simpanan mereka dalam akaun FD, ia merupakan suatu kehilangan peluang.
Ini berdasarkan kadar faedah FD di Malaysia bergerak sekitar 3.3 peratus untuk 12 bulan.
“Sebagai sebahagian daripada peruntukan aset berhemat, penyimpan dinasihatkan mempelbagaikan portfolio kewangan atau aset mereka. Pasaran modal menyediakan pelbagai peluang pelaburan yang dapat memadankan pelbagai pelaburan dengan minat risiko masing-masing.
“Ada kaunter saham dan produk yang berbeza yang menawarkan kadar risiko dan pulangan yang berbeza, yang dapat diterjemahkan ke dalam pertumbuhan nilai yang baik. Sebagai contoh, sektor kewangan yang mewakili saham perbankan meningkat 6.9 peratus dalam tempoh lapan bulan lepas,” katanya.
Kempen di seluruh negara itu yang akan dilaksanakan sepanjang 2019, bertujuan meningkatkan penyertaan runcit dalam pasaran modal menerusi program pendidikan dan pengetahuan yang meluas, serta inisiatif untuk menarik dan memudahkan kemasukan awal ke dalam pasaran modal.
— BERNAMA