SEREMBAN – Kajian mendapati golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender atau lebih dikenali sebagai LGBT layak dipertimbangkan untuk menerima bantuan zakat Al-Riqab namun mestilah berdasarkan kriteria dan syarat ditetapkan, kata Prof Madya Dr Azman Ab Rahman.

Timbalan Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata dalam kajian yang dilakukan bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 2013 hingga 2015 yang telah meneliti semua fatwa dan dalil berkaitan, pemberian zakat itu dibolehkan selagi ia tidak bertentangan dengan hukum syarak.

“Objektif kajian ini dijalankan untuk melihat sama ada golongan LGBT layak untuk menerima zakat atau sebaliknya termasuk fatwa-fatwa berkaitan dengannya. Hasil kajian yang dijalankan mendapati golongan LGBT di Malaysia boleh dipertimbangkan untuk dikategorikan (masuk) dalam asnaf Al-Riqab berdasarkan ‘illah’ (sebab) mereka dibelenggu masalah (LGBT).

“Implikasi kajian ini juga boleh dijadikan panduan kepada institusi zakat dan Majlis Agama Islam negeri yang lain selain Selangor dalam melihat semula kedudukan LGBT sebagai penerima zakat sama ada mereka ini layak diberikan zakat atau sebaliknya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Illah membawa maksud sifat yang mempunyai ciri-ciri khusus yang ada pada sesuatu hukum. Sifat tersebut merupakan sebab mengapa hukum itu disyariatkan.

Rabu lepas, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid dipetik sebagai berkata golongan yang terbelenggu dengan gaya hidup songsang seperti lesbian, gay, mak nyah dan pelacur merupakan antara penerima bantuan zakat Al-Riqab di Selangor.

Mohd Tamyes berkata Fatwa Jenis Penerima Asnaf Al-Riqab Negeri Selangor itu telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 14 Mei 2012, atas dasar kebajikan dan kasih sayang dalam Islam supaya golongan ini tidak terpinggir serta merasa seolah-olah didiskriminasi.

Antara golongan yang turut tersenarai sebagai penerima asnaf Al-Riqab adalah homoseksual, gigolo, biseksual, pengkid, tomboy dan mereka yang bersedudukan dengan orang bukan Islam.

Azman yang juga pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM berkata, pemberian zakat itu bertujuan sebagai langkah untuk memulih dan menyelesaikan masalah ummah khususnya golongan LGBT di Malaysia.

“Bagi memastikan konsep Al-Riqab lebih bersifat holistik, terdapat beberapa penambahbaikan kriteria asnaf Al-Riqab agar bertepatan dengan konteks tempat dan masa iaitu pertamanya sifat terbelenggu seseorang itu kerana dieksploitasi oleh individu dan kelompok lain dan bukannya terjerumus ke dalam kancah belenggu dengan kehendak sendiri.

“Kedua seseorang yang telah disahkan ingin membebaskan dirinya daripada belenggu (masalah) yang dihadapi, ketiga sifat terbelenggu itu adalah tidak terkeluar daripada empat faktor utama iaitu pemikiran, harta, kekuasaan dan kebebasan dan keempat permasalahan tersebut bersifat nasional dan akan berterusan jika tidak dibendung. Ini yang perlu ditambah supaya ia menjadi lebih berfokus,” katanya.

Setakat ini, Azman berkata hanya Selangor sahaja yang memberikan bantuan zakat kepada golongan LGBT yang disalurkan menerusi pusat-pusat pemulihan yang diwujudkan.

“Penghujahan yang lebih tepat dalam membolehkan pemberian zakat disalurkan kepada golongan LGBT adalah kerana sebagai orang Islam kita dituntut untuk menolong sesama muslim seperti yang terkandung dalam Surah al-Maidah, ayat dua.

“Saya lebih cenderung bahawa golongan LGBT dikategorikan di bawah asnaf Al-Riqab berdasarkan ‘illah’ belenggu dari semua sudut, sama ada daripada aspek perlindungan berbentuk keselamatan serta perlindungan sumber kewangan yang membolehkan mereka terus hidup dalam keadaan yang selamat dan bebas daripada mana-mana ancaman,” katanya.

Ayat dua Surah al-Maida itu berbunyi “Dan tolong- menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya”.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast