KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau bukan lagi orang yang sama berbanding ketika kali pertama menjadi Perdana Menteri.
“Saya sudah berubah. Saya sedar pada masa lalu saya ada kawalan sepenuhnya, adakala saya boleh buat keputusan secara sepihak. Ada orang panggil saya diktator.
“Tetapi sekarang saya sedar, parti kami bukan yang dominan – Saya perlu ambil kira pandangan lima parti,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Lantaran itu, katanya, sokongan ke atasnya bergantung kepada sebaik mana cadangan beliau, memandangkan beliau boleh bertindak berdasarkan pendirian sendiri.
Katanya, ia berlaku dalam Kabinet dan juga dalam partinya sendiri dan perkara itu menyebabkan mesyuarat pimpinan boleh berlanjutan beberapa jam kerana perbahasan sesuatu isu.
Dr Mahathir juga berkata, beliau yakin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mampu melahirkan pengganti yang mampu menggalas tugas selepas beliau tiada lagi.
“Kami harap orang-orang berbakat akan muncul. Mereka mungkin muncul tak lama lagi dan kami menggalakkan mereka yang berbakat untuk jadi pemimpin.
“Dalam Bersatu ramai orang muda yang menunjukkan kebolehan yang besar,” katanya ketika menjawab tentang pelan peralihan parti itu.
Diminta mengulas lanjut berhubung anggota muda yang dilihat mempunyai potensi sebagai pemimpin, beliau menamakan Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai contoh.
Bagaimanapun tidak pasti sama ada beliu kekal menjadi Pengerusi Bersatu apabila peralihan itu berlaku. – MalaysiaGazette