Othman Mahmood
Othman Mahmood

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh mesyuarat khas yang akan dimaklumkan kelak berikutan penerimaan notis kekosongan kerusi Parlimen P.132 Port Dickson hari ini.

Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, notis pengisytiharan kekosongan kerusi itu diterima beliau daripada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

“SPR memaklumkan bahwa telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat pada hari ini berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Rakyat bagi kawasan Port Dickson.

“Ia berikutan perletakan jawatan oleh penyandangnya Laksamana Muda (B) Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada hari ini,” katanya dalam kenyataan rasmi hari ini.

Sehubungan itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti tarikh Writ, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya kecil tersebut.

“Bagaimanapun tarikh mesyuarat khas itu akan dimaklumkan kelak oleh pihak SPR selepas ini,” tegas beliau.- MalaysiaGazette