PELABUHAN KLANG – Datuk Zakaria Arshad menafikan beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan FGV Holdings Bhd sambil menyifatkan ia hanya spekulasi liar.
Zakaria bagaimanapun menjelaskan, beliau hanya diminta mengosongkan kerusi ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan itu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan FGV yang dipinda baru-baru ini.
“Oleh kerana dalam mesyuarat agung telah tetapkan supaya CEO tidak lagi menjadi ahli lembaga pengarah, jadi pihak Kementerian Kewangan (MOF) menulis surat kepada FGV mengatakan bahawa CEO tidak lagi dicalonkan oleh MOF.
“Pihak FGV mengeluarkan kenyataan kepada Bursa Malaysia mengatakan saya tidak lagi menjadi ahli lembaga pengarah FGV. Itu cerita sebenarnya.
“Ada spekulasi mengatakan saya diarah meletakkan jawatan sebagai CEO, itu tidak benar sebenarnya adalah saya tidak lagi menjadi ahli lembaga pengarah FGV,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif FGV-MPOB Dalam Menerajui Penggunaan B10 di Felda Transport Services Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan pihak tertentu yang memanipusikan surat FGV kepada Bursa Malaysia semalam yang mendakwanya meletak jawatan CEO FGV berkuat kuasa 12 September 2018.
Syarikat perniagaan pertanian itu berkata, tindakan tersebut berkuatkuasa selepas FGV menerima surat daripada pemegang saham khas, Menteri Kewangan (Diperbadankan), semalam.
Surat ini memaklumkan penarikan pelantikan Zakaria sebagai pengarah lantikan kerajaan dalam pelaksanaan perlembagaan baharu FGV yang telah diluluskan oleh pemegang saham FGV pada 28 Jun lalu.
Tindakan itu mengikut Klausa 89(3) perlembagaan tersebut, yang menyatakan khidmat pengarah lantikan kerajaan akan ditamatkan apabila pelantikan beliau ditarik balik. – MalaysiaGazette