Mat SAbu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan menyalurkan peruntukan RM500,000 untuk membaiki kerosakan rumah dan prasarana yang perlu bagi Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini, berkata peruntukan tersebut diumumkan menterinya Mohamad Sabu setelah beliau mengadakan lawatan kerja ke Port Dickson bagi bertemu anggota Pusat Asas Tentera Darat (Pusasda) dan meninjau sendiri keadaan RKAT di daerah berkenaan.

“Beliau berkesempatan melawat keadaan rumah keluarga angkatan tentera khususnya di blok anggota berpangkat koperal ke bawah dan melihat adanya keperluan untuk baik pulih tangki air, saluran paip, kumbahan serta elektrik,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Mohamad turut menunaikan solat Jumaat bersama anggota Pusasda di Masjid Depot Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), yang turut dihadiri Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Dalam sesi perjumpaan Mohamad bersama anggota Pusasda berkekuatan 1,100 anggota di Perkarangan Hangar itu, beliau menyampaikan ucapan antaranya memberi semangat dan nasihat kepada anggota agar sentiasa sedar dengan tanggungjawab memelihara keluarga serta mempertahankan tanah air tercinta dan tidak terlibat dengan najis dadah.

Beliau juga menekankan agar setiap anggota tentera terus setia berkhidmat dalam perkhidmatan sehingga umur persaraan dan tidak berhenti separuh jalan memandangkan dunia luar tidak semestinya menjanjikan kejayaan.

Menurut kenyataan itu, Mohamad turut memberi komitmen akan sentiasa melihat dan mengambil perhatian soal kebajikan anggota dari semasa ke semasa walaupun keadaan kewangan kerajaan yang terhad kini. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast